KUALA LUMPUR – Siren amaran menandakan paras air Sungai Klang berada pada tahap bahaya dilapor kedengaran di ibu negara ketika ini.
Berdasarkan pemantauan MalaysiaGazette, beberapa maklumat yang dikongsikan menerusi aplikasi Whatsapp menyatakan, air sungai berkenaan mengalir deras dan kelihatan agak tinggi dari paras tebing.
Hujan lebat sejak petang semalam dan berterusan sehingga pagi ini dipercayai menjadi faktor kenaikan paras air sungai tersebut.
Sekeping gambar yang tular diambil dari sebuah bangunan menunjukkan air sungai itu berwarna coklat.
“Siren dah bunyi, air sebelah dah tinggi sebelah villa, Villa Putri area PWTC,” demikian maklumat yang berlegar diaplikasi tersebut.
Bagaimanapun, setakat ini pasukan bomba dan penyelamat mahupun pihak-pihak yang berkenaan belum mengeluarkan sebarang kenyataan bagi memaklumkan perkembangan berhubung perkara itu.
Jabatan Meteorologi Malaysia pagi ini memaklumkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang akan melanda ibu negara sehingga jam 10 pagi ini. – MalaysiaGazette
















