Logo Suruhanjaya Tenaga

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Tenaga (ST) mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mengutamakan keselamatan elektrik dan gas di musim banjir.

Menurutnya, banjir boleh mengakibatkan tiang elektrik tumbang, talian elektrik terputus, kerosakan kelengkapan elektrik, peralatan gas dan sebagainya.

Sehubungan itu, bagi memastikan keselamatan elektrik dan gas sentiasa terjamin, orang ramai perlu mengambil langkah-langkah pengawasan berikut:

Sebelum banjir
Sekiranya diarah berpindah, pastikan:
1. Simpan kelengkapan elektrik di tempat yang tinggi dan selamat daripada ditenggelami air banjir.
2. Matikan suis bekalan utama di papan agihan elektrik.
3. Matikan pepasangan elektrik yang disambung secara berasingan daripada suis utama seperti solar PV, pagar elektrik atau pengecas kenderaan elektrik.
4. Tutup injap silinder gas atau gas berpaip.

Semasa banjir
1. Elak melalui kawasan yang mempunyai talian elektrik atau pepasangan elektrik seperti pencawang dan bilik suis elektrik yang ditenggelami air.
2. Elak daripada memegang tiang atau apa-apa struktur yang menyalurkan elektrik.
3. Jangan mengalih tiang elektrik yang tumbang atau talian yang putus. Segera laporkan kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Selepas banjir
1. Pastikan suis utama di papan agihan elektrik dan injap saluran gas berada pada kedudukan ‘OFF’ sebelum kerja pembersihan dimulakan.
2. Sebelum ‘ON’ suis utama, pastikan kelengkapan elektrik dalam keadaan baik dan kering.
3. Sentiasa berwaspada apabila menjalankan aktiviti pembersihan banjir berdekatan dengan talian, struktur pepasangan elektrik dan saluran gas berpaip.
4. Elak menggunakan kelengkapan elektrik dan peralatan gas yang diragui keselamatannya.
5. Sekiranya meragui keselamatan sistem elektrik dan gas berpaip, dapatkan perkhidmatan kontraktor elektrik atau gas yang berdaftar dengan ST.

ST turut menasihatkan agar orang ramai menyimpan nombor telefon pejabat kecemasan yang berdekatan seperti balai polis, bomba, hospital serta pihak utiliti, iaitu TNB dan N.U.R. Power. Sila pastikan nombor tersebut mudah diakses semasa kecemasan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast