PUTATAN – Kemeriahan kempen Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 semakin memuncak dengan pemasangan bendera parti dan poster calon yang bertanding di serata kawasan baik di bandar mahupun luar bandar.
Tinjauan MalaysiaGazette di sini mendapat kemeriahan berkempen kurang lima hari sebelum pengundian 29 November ini dicemari tindakan terdesak parti-parti politik tertentu yang menjadikan kawasan kubur sebagai “medan” meraih undi.
Lebih malang apabila Tanah Perkuburan Orang-Orang Islam Kampung Contoh di sini hampir “lenyap” daripada pandangan dek kerana bahan kempen termasuk poster calon dan bendera digantung di sekeliling pagar hingga menutup kawasan itu.

Bukan sahaja poster wajah calon parti pembangkang sahaja, bahkan parti kerajaan daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) termasuk Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor digantung bersebelah pintu masuk kawasan perkuburan itu.
Poster kempen Hajiji yang juga calon GRS kerusi N12 Sulaman itu dilihat mengenakan pakaian meja putih dan busana tradisi tradisional berserta bertanjak masyarakat Bajau.
Turut kelihatan poster kempen tertera wajah calon GRS kerusi N24 Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya dan calon Warisan di kerusi sama, Mohammad Firdaus Diun.

Selain itu, turut kelihatan bendera parti lain termasuk Barisan Nasional (BN) dan Star Sabah. – MalaysiaGazette
















