Runtuhan di cerun yang menyebabkan kerosakan dua buah kereta serta beberapa motosikal di Taman United, Seputeh hari ini. Gambar: Ihsan JBPM.

KUALA LUMPUR – Dua blok pangsapuri membabitkan 104 unit kediaman di Taman United, Seputeh, di sini diarah dikosongkan selepas berlaku pergerakan tanah susulan insiden tanah runtuh di kawasan cerun, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh, Armdan Mahat berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 11.02 pagi sebelum mengerahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh ke lokasi dengan dua jentera dengan kekuatan 11 anggota.

Katanya, kejadian membabitkan runtuhan tanah cerun sepanjang kira-kira 60 meter yang menimpa dua kereta serta beberapa motosikal.

“Sebuah kereta ditemui tertimbus manakala sebuah lagi tumbang. Runtuhan tanah turut memasuki kawasan pangsapuri kos rendah berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, katanya, dua blok pangsapuri bersama premis berhampiran diarah dikosongkan berikutan masih berlaku pergerakan tanah selain hujan lebat yang berterusan.

Tindakan itu diambil selepas perbincangan bersama wakil Parlimen Seputeh dan jurutera Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang hadir di lokasi kejadian.

“Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan terlibat dan pasukan bomba masih berada di lokasi bagi memantau sebarang pergerakan tanah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast