KUALA LUMPUR – Seramai 17 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang menduduki pemeriksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jitra dipindahkan ke SMK Tanjung Pauh serta merta berikutan kejadian banjir kilat.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.20 pagi tadi melibatkan kawasan perkarangan dewan peperiksaan dan beberapa bahagian sekolah ketika peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 1 berlangsung.

“Susulan itu, pegawai Sektor Pengurusan Peperiksaan (SPP) JPN Kedah telah hadir ke lokasi dan mengambil tindakan segera bagi memastikan peperiksaan dapat diteruskan dengan selamat dan mengikut ketetapan Lembaga Peperiksaan,” katanya menerusi kenyataan.

Selain itu menurutnya, bagi peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 2, kesemua 163 calon juga dipindahkan ke SMK Bandar Baru Darulaman yang telah disediakan lebih awal sebagai pusat peperiksaan alternatif.

“Proses pemindahan dikendalikan oleh pihak sekolah dengan bantuan trak polis, kenderaan guru dan sokongan waris, dan berjalan lancar tanpa sebarang insiden keselamatan,” tambah kenyataan itu.

Jelasnya kenyataan itu, SPP dan PPD akan melaksanakan pemantauan berterusan.

Manakala JPN Kedah pula akan memastikan segala keperluan logistik, keselamatan dan pelaksanaan peperiksaan mengikut prosedur yang ditetapkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast