Peguam, Siva Kumar Kanagasabai hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi keputusan kes saman 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap keluarga dan sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low di Mahkamah Tinggi Sivil NCvC 7, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 25 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi memerintahkan kakak dan sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low  membayar ganti rugi berjumlah AS$2.7 bilion (RM11.6 bilion) kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan empat anak syarikatnya berkaitan dana yang diseleweng.

Hakim Mahazan Mat Taib memerintahkan sekutu Jho Low, Eric Tan Kim Loong membayar AS$2.7 bilion manakala Low May Lin sebanyak AS$809,000. Mereka turut diarah menjelaskan kos RM500,000.

Mahkamah memutuskan demikian selepas membenarkan kelima-lima plaintif memasukkan penghakiman ingkar terhadap kedua-duanya dalam saman tersebut bagi menuntut wang yang diseleweng daripada dana berkenaan.

Selain 1MDB, keempat-empatnya ialah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited.

Ketika menyampaikan keputusannya, Hakim Mahazan berpuas hati, kedua-dua defendan telah menyembunyikan penipuan  dengan menyeleweng dana terbabit dan menyebabkan mereka memperolehi kekayaan secara tidak wajar.

Ujar beliau, May Lin menerima AS$809,319 yang dimasukkan terus ke dalam akaun peribadi melalui empat pemindahan daripada bapanya Tan Sri Larry Low Hock Peng.

“Pemindahan itu dilakukan tanpa sebarang rasional komersial dan berpunca daripada dana yang diselewengkan melalui Good Star. Sebagai kakak Jho Low, peranannya sebagai penerima dana yang diseleweng secara peribadi,” katanya.

Dalam penghakimannya, Hakim Mahazan turut berpuas hati, 1MDB dan empat anak syarikatnya telah membuktikan tuntutan mereka terhadap kedua-duanya atas imbangan kebarangkalian.

Beliau menyatakan, kedua-duanya menggunakan dokumen korporat, carta aliran dana, rekod bank dan keterangan saksi adalah kekal dan tidak dicabar.

“Bukti daripada bekas ketua pegawai kewangan 1MDB Azmi Tahir dan pakar pemulihan aset luar pesisir, Angela Buckhouse dan Richard Templeman disokong sepenuhnya oleh dokumen.

“Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu Datuk Seri Najib Razak melaksanakan kawalan de facto ke atas keputusan kewangan utama 1MDB menurut Artikel 117 perlembagaan syarikat,” katanya.

Menurut hakim berkenaan, walaupun Jho Low tidak memegang jawatan rasmi, beliau bertindak sebagai proksi dan pengarah bayangan Najib dengan arahannya dianggap oleh lembaga pengarah dan pengurusan kanan 1MDB sebagai melaksanakan kuasa Najib.

“Banyak urus niaga utama telah dirumus dan dilaksanakan melalui entiti yang dikawal oleh Jho Low dan sekutunya.

“Dana yang bertujuan untuk projek nasional telah dialihkan dengan pantas ke struktur luar pesisir yang dikawal oleh Jho Low,” katanya.

Beliau berkata bukti dokumentari menunjukkan bahawa Eric Tan, adalah pemilik benefisial bagi akaun Alsen Chance dan Blackstone, yang menerima AS$2.79 bilion yang dialihkan secara salah daripada 1MDB.

Beliau berkata, Eric Tan berfungsi sebagai saluran penting bagi `mencuci’ dana yang dicuri.

Penyataan tuntutan plaintif mendakwa mereka dimanipulasi oleh sekumpulan individu termasuk Najib dan Jho Low untuk memfasilitasikan penipuan yang berskala besar dan berjangka panjang menyebabkan berbilion-bilion ringgit telah dilesapkan.

“Semasa melaksanakan penipuan tersebut, pelbagai aktiviti pecah amanah dan pelanggaran tugas fidusiari telah dilakukan oleh Najib, ahli-ahli lembaga pengarah dan pasukan pengurusan kanan plaintif-plaintif.

“Dana dan aset kesemua plaintif yang telah dipindah kepada defendan-defendan telah dilesapkan dengan pengetahuan kesemua defendan secara pecah amanah dan pelanggaran tugas fidusiari,” menurut penyataan tuntutan itu. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast