PUTRAJAYA – Mulai tahun depan penyertaan Solid Waste Management Intellectual Course atau SOSMIC (SOSMIC) akan menjadi syarat wajib permohonan dan pembaharuan lesen perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata langkah tersebut bertujuan memperkasakan lagi agenda reformasi pengurusan sisa pepejal dalam negara.
“SOSMIC diwujudkan untuk memastikan semua pemegang lesen pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam berada pada tahap profesionalisme yang setanding dengan keperluan masa depan negara,” katanya.
Ucapan pelancaran Reformasi Pengurusan Sisa Pepejal Negara: SOSMIC beliau disampaikan oleh Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib.
Selain itu tambah beliau, SOSMIC diwujudkan demi memastikan dasar-dasar semasa kementerian itu khususnya dalam pengurusan sisa dilaksanakan dengan berkesan selain meningkatkan kefahaman perundangan serta syarat pelesenan.
“Mewujudkan industri sisa pepejal yang profesional dan kompeten dan memperkasa ejen kebersihan sebagai penggerak utama amalan terbaik industri,” katanya lagi.
Mengulas lanjut Nga berkata, sebagai standard rujukan industri, SOSMIC merangkumi lima modul teras yang meliputi latar belakang pengurusan sisa pepejal, perundangan, asas teknikal, tatacara permohonan lesen melalui sistem i-Lesen, serta amalan terbaik pemegang lesen.
“Program ini melibatkan tenaga pengajar pakar daripada SWCorp sebagai agensi yang mentadbir dan menguatkuasakan undang-undang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di bawah KPKT,” katanya.
Katanya lagi, selain SOSMIC, SWCorp juga sedang memperluas Kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) bagi melatih operator, penyelia dan pekerja teknikal yang bekerja setiap hari di lapangan.
“SOSMIC bertumpu kepada melatih pengurusan dan pemegang lesen, manakala SKM mengukuh kemahiran teknikal pekerja lapangan.
“Apabila kedua-duanya digabung, kita membina industri berprestasi tinggi iaitu industri yang bukan sahaja melaksana, tetapi berfikir; bukan sekadar mematuhi, tetapi memimpin,” tambah Nga.
Terdahulu Nga berkata, bermula 2014 hingga 2025 sebanyak 24,003 operasi menangani sampah haram telah dilaksanakan.
Khusus bagi tahun 2025 sehingga Oktober, 3,634 operasi berjaya dilaksanakan, meningkat berbanding 3,036 pada tahun sebelumnya.
Nga berkata, ia melibatkan pembersihan 1,530.41 tan sisa pepejal dengan kos lebih RM406 ribu.
Manakala, 22 kes telah berjaya dihadapkan ke Mahkamah di bawah Akta 672 tahun ini, disokong oleh 4,268 operasi risikan.-MalaysiaGazette
















