KUALA LUMPUR – Peranti bukan pengasuh kepada anak-anak dan bukannya pengganti ibu bapa, sebaliknya penggunaannya perlu dihadkan supaya jenayah siber kanak-kanak tidak menular.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkongsian data tanpa batas dalam media sosial khususnya dalam kalangan kanak-kanak membuka peluang terhadap jenayah tersebut terutama pedofil.
Justeru katanya, kanak-kanak perlu dididik tentang penggunaan Internet secara selamat.
“Isu keselamatan siber menjadi antara keutamaan Kementerian Komunikasi kerana kita nak Internet yang laju dan murah tapi yang paling penting adalah Internet yang selamat.
“Peranti bukan pengasuh, bukan pengganti buat ibu dan ayah. Tapi sekiranya anak-anak menggunakan peranti mereka perlu diberi sedikit didikan, jangan berikan perincian seperti alamat, nama penuh, jangan berkawan dengan yang tidak dikenali di media sosial. Kalau boleh media sosial hentikan untuk anak-anak di bawah usia 16 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Seminar Kesedaran Penipuan Syber Komuniti India Lembah Pantai.
Dalam masa yang sama katanya, bermula tahun depan beberapa pindaan yang dibuat menerusi Akta Keselamatan Dalam Talian yang bakal menetapkan pengendali platform media sosial menggunakan menggunakan pengesahan identiti pengguna (eKYC) bagi mengehadkan umur minimum.

“Banyak sangat data yang kita kongsikan kepada syarikat asing, tentang data peribadi kita, kita nak elak daripada masa depan anak-anak kita terkesan daripada tindak tanduk media sosial,” ujarnya.
Bagaimanapun tambah Fahmi, selain penguatkuasaan ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak tidak terjerumus dalam jenayah siber yang membimbangkan.
“Kita lihat tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) lebih tegas tapi ada satu komponen yang juga sangat penting iaitu peranan ibu bapa terutamanya,” katanya lagi.
Terdahulu beliau berkata, berdasarkan rekod daripada Jabatan Siasatan jenayah Komersil berlaku penghjrahan secara besar-besaran penjenayah ke alam siber.
“Dapatan yang dipersembahkan kepada saya oleh Jabatan Siasatan jenayah Komersil menunjukkan berlaku penghijrahan secara besar-besaran penjenayah ke alam siber, 31 orang telah ditahan berusia antara 12 hingga 71 tahun memiliki lebih 800,000 fail video dan gambar jenayah seksual terhadap kanak-kanak.” ujarnya.
Sehubungan itu katanya, bukan hanya kelajuan dan kemurahan Internet menjadi keutamaan Kementerian Komunikasi tapi dalam masa yang sama keselamatan penggunaannya. – MalaysiaGazette
















