GEORGE TOWN – Kerja-kerja beam launching (pemasangan rasuk) bagi Jalan Pintasan Pakej 2: Ayer Itam ke Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu kini mencapai kemajuan 82 peratus, kata Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari.
Beliau berkata, pemasangan rasuk ini merupakan salah satu elemen struktur utama pembinaan viaduct dan jambatan.
“Secara keseluruhan projek ini memerlukan 329 unit rasuk dan sehingga kini 269 unit telah dipasang manakala baki, 60 unit rasuk akan dipasang mengikut seksyen masing-masing bergantung kepada kesediaan sub-struktur, keadaan cuaca dan keselamatan tapak.
“Terbaru, tiga rasuk dipasangkan pada Sabtu lalu dengan ukuran tinggi 2.2 meter, lebar 2.25 meter, panjang 39.45 meter dan berat 120 tan.

“Berdasarkan jadual terkini, keseluruhan kerja pemasangan rasuk telah mencapai kemajuan 82 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2026,” katanya hari ini.
Tambah Zairil, setakat 31 Oktober lalu, kemajuan kerja fizikal keseluruhan projek telah mencapai 87 peratus.
“Penang Infrastructure Corporation (PIC) bersama pihak kontraktor akan terus memastikan pembinaan berjalan dengan keutamaan terhadap keselamatan, kualiti dan pematuhan spesifikasi JKR,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
EOT Projek Pakej 2 berasakan fakta, bukti teknikal – PIC
Media pada Jumaat lalu melaporkan, Penang Infrastructure Corporation (PIC) menjelaskan bahawa kelulusan lanjutan masa atau Extension of Time (EOT) bagi Projek Jalan Pintasan Pakej 2: Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu hanya diluluskan selepas kontraktor membuktikan kelewatan tersebut berasas dan selaras dengan syarat kontrak.
PIC dalam kenyataan berkata, kerja pembinaan kini mencapai kemajuan 87 peratus dan tarikh siap baharu projek tersebut diunjurkan pada 12 April 2027 selepas mengambil kira dua EOT yang telah diluluskan mengikut syarat-syarat kontrak.
Projek Pakej 2: Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam merupakan salah satu projek di bawah Komponen Jalan-Jalan Utama dan Laluan Ketiga (PMRT) dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang telah bermula sejak tahun 2021 bagi Seksyen 1 dan tahun 2022 bagi Seksyen 2 hingga Seksyen 6.
Jalan sepanjang 5.7 kilometer yang menghubungkan Bandar Baru Ayer Itam dan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu itu akan memendekkan waktu perjalanan daripada 40 minit ke sekitar 5 minit.
Projek tersebut dilaksanakan oleh Consortium Zenith Construction (CZC) dengan kendalian PIC melibatkan pembinaan tiga persimpangan bertingkat iaitu di Lebuhraya Thean Teik, Jalan Bukit Gambir-Jalan Sultan Azlan Shah serta Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu yang merangkumi persimpangan masuk-keluar kiri dan pusingan U bertingkat. – MalaysiaGazette
















