GEORGE TOWN – Penang Infrastructure Corporation (PIC) menjelaskan bahawa kelulusan lanjutan masa atau Extension of Time (EOT) bagi Projek Jalan Pintasan Pakej 2: Ayer Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu hanya diluluskan selepas kontraktor membuktikan kelewatan tersebut berasas dan selaras dengan syarat kontrak.
PIC dalam kenyataan berkata, kerja pembinaan kini mencapai kemajuan 87 peratus dan tarikh siap baharu projek tersebut diunjurkan pada 12 April 2027 selepas mengambil kira dua EOT yang telah diluluskan mengikut syarat-syarat kontrak.
Jelasnya, permohonan EOT berkenaan turut melalui proses penelitian Jawatankuasa Lanjutan Masa sebelum dimaklumkan dalam mesyuarat tapak serta dibentangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah PIC pada 29 Julai lalu.
“EOT pertama diluluskan pada 30 Oktober 2023 susulan kerja tapak tidak dapat dimulakan mengikut jadual asal berikutan proses pengambilan balik tanah yang perlu diselesaikan di laluan utama. Lanjutan masa itu adalah selaras dengan Klausa 49.1(g) kontrak berkaitan kelewatan pemberian pemilikan tapak, sekali gus menetapkan tarikh siap baharu ketika itu pada 31 Oktober 2026.
“EOT kedua pula diluluskan pada 16 Jun lalu akibat kelewatan dalam menerima Kebenaran Memulakan Kerja (KMK) bagi Seksyen 6 yang memerlukan penilaian teknikal Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Lanjutan tersebut menepati Klausa 49.1(f) kontrak berkaitan kelewatan mendapatkan kelulusan atau kebenaran daripada pihak berkuasa. Melalui kelulusan itu, tarikh siap projek dikemas kini kepada 12 April 2027,” katanya hari ini.
Tambah PIC, kedua-dua lanjutan masa itu dipersetujui Jawatankuasa Lanjutan Masa kerana permohonannya didapati berasas dan munasabah serta mematuhi peruntukan kontrak.
“PIC komited menyiapkan baki kerja dan memastikan Projek Jalan Pintasan Pakej 2 dapat diselesaikan mengikut jadual baharu tersebut,” katanya.
Projek Pakej 2: Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam merupakan salah satu projek di bawah Komponen Jalan-Jalan Utama dan Laluan Ketiga (PMRT) dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang telah bermula sejak tahun 2021 bagi Seksyen 1 dan tahun 2022 bagi Seksyen 2 hingga Seksyen 6.
Jalan sepanjang 5.7 kilometer yang menghubungkan Bandar Baru Ayer Itam dan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu itu akan memendekkan waktu perjalanan daripada 40 minit ke kira-kira 5 minit.
Projek tersebut dilaksanakan oleh Consortium Zenith Construction (CZC) dengan kendalian PIC melibatkan pembinaan tiga persimpangan bertingkat iaitu di Lebuhraya Thean Teik, Jalan Bukit Gambir-Jalan Sultan Azlan Shah serta Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu yang merangkumi persimpangan masuk-keluar kiri dan pusingan U bertingkat. – MalaysiaGazette
















