Sebahagian penduduk yang terperangkap apabila rumah dilimpahi air banjir ketika tinjuan MalaysiaGazette di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat, Selangor. Foto SADIQ SANI, 15 SEPTEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Selangor memberi bantuan awal sebanyak RM500 kepada 750 keluarga yang terkesan akibat banjir di lima daerah di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kesemua mangsa tersebut telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Langat, Petaling, dan Klang.

“Faktor utama peningkatan paras air di kawasan-kawasan adalah taburan hujan yang melebihi jangkaan dan turut memberi kesan melibatkan lapan negeri seluruh negara,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut beliau, sehingga 11.30 pagi tadi seramai 2,784 mangsa ditempatkan di 21 PPS di lima daerah.

Daripada jumlah tersebut, seramai 221 merupakan pelajar yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini.

Sehubungan itu, Amirudin berkata, pejabat-pejabat daerah menyediakan pengangkutan percuma bagi calon SPM dari PPS ke sekolah sepanjang peperiksaan berlangsung.

Selain itu tambah beliau, Yayasan MBI akan menyalurkan bantuan segera kepada pelajar-pelajar ini kehilangan peralatan menulis dan digital akibat banjir agar urusan peperiksaan dapat diteruskan dengan lebih selesa.

“Saya juga telah mengarahkan supaya usaha tebatan banjir di beberapa kawasan tumpuan dipercepatkan, dan usaha ini akan dipantau dan diperincikan petang ini oleh YB Datuk Izham Hashim, EXCO Kemajuan Infrastruktur,” katanya.

Katanya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pagi tadi membincangkan kejadian banjir yang melanda lima daerah di Selangor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast