KUALA LUMPUR – Kesemua 36 penuntut dan empat pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang masih terperangkap dalam bencana banjir besar di Hatyai, Thailand dilaporkan berada dalam keadaan baik dan sihat.
Malah, keadaan seorang penuntut yang dilaporkan menghidap Talasemia juga dilaporkan tidak serius dengan ibu bapa pelajar berkenaan sudah dimaklumkan perkara berkenaan bagi mengelak kerisauan.
Berkongsi situasi warga UUM itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, keadaan air di sekitar penginapan pelajar dan pensyarah di Hotel Wangburapa Grand semakin meningkat dan arus air sangat deras.
Keadaan itu, ujarnya, tidak mengizinkan laluan kenderaan darat, selain makanan dan keperluan asas juga semakin berkurangan.
Sehubungan itu, jelasnya, warga UUM berkenaan sangat berharap agar pihak Konsulat Malaysia di Hatyai dapat menghantar bekalan makanan, minuman dan lain-lain keperluan asas dengan segera.
“Pihak UUM terus berhubung dengan Pejabat Konsulat, badan bukan Kerajaan (NGO) dan beberapa pemimpin Islam termasuk menggerakkan alumni UUM di sana untuk membantu menghantar makanan, minuman dan ubat-ubatan.
“Bagaimanapun, arus deras di sekitar Hotel Wangburapa Grand yang berdekatan dengan sungai, menyebabkan sebahagian bot kecil terbalik, malah beberapa usaha menyelamat telah dilakukan dua hari lalu, namun tidak berjaya kerana arus deras,” katanya menerusi laman sosial Facebook UUM hari ini.
Tambah Ahmad Martadha yang turut menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor UUM, pihaknya amat berterima kasih kepada masyarakat sekitar yang prihatin dengan menyediakan makanan bubur nasi untuk warga UUM terlibat.
Menurutnya, beliau difahamkan kerajaan juga telah mengambil pelbagai pendekatan untuk membantu membawa keluar pelajar-pelajar dan pensyarah UUM berkenaan secepat mungkin.
Selain itu, tambahnya, UUM juga telah menyediakan kenderaan untuk mengambil pelajar dan pensyarah berkenaan di laluan yang boleh dimasuki kenderaan.
“Akhir kata, saya mengajak semua pihak untuk sama-sama kita mendoakan kesihatan dan kebajikan pelajar-pelajar dan pensyarah kita dan agar mereka dapat dibawa pulang ke UUM dengan segera,” katanya.
Kesemua warga UUM itu merupakan peserta Thai-MYS Cultural Exchange Programme 2025 yang sepatutnya pulang Sabtu lalu, namun terperangkap di hotel penginapan mereka akibat banjir besar tanpa bekalan elektrik dan air. – MalaysiaGazette
















