Tangkap layar menunjukkan pelajar berkenaan mengimamkan solat jenazah ayahnya serta Pengarah JPN Pulau Pinang, Mohamad Dziauddin menziarahi mangsa serta keluarganya.

NIBONG TEBAL – Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdullah Fahim, di sini, cekal apabila mengimamkan solat jenazah ayahnya sebelum kembali menduduki peperiksaan pertama ujian bertulis semalam.

Ayah kepada Ahmad Khairuddin Md Nor dikatakan meninggal dunia secara mengejut pada pagi hari selepas rebah ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik.

MalaysiaGazette difahamkan, ahli keluarga memaklumkan kejadian kepada pihak sekolah kira-kira jam 2.30 pagi namun minta ia dirahsiakan sehingga selesai menduduki Kertas 1 Bahasa Melayu kerana bimbang menjejaskan emosinya.

Bagaimanapun, sebelum memasuki dewan, Ahmad Khairuddin memaklumkan berasa tidak sedap hati namun berjaya ditenangkan guru bimbingan dan kaunseling serta guru bertugas, membolehkannya menduduki peperiksaan seperti dijadualkan.

Pelajar berkenaan hanya dimaklumkan mengenai pemergian bapanya, selepas selesai menjawab kertas pertama.

Ahmad Khairuddin turut mengimamkan solat jenazah ayahnya serta menguruskan pengebumian, sebelum guru-guru membawanya ke SMK Bertam Indah untuk menduduki Kertas 2 Bahasa Melayu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Mohamad Dziauddin Mat Saad ketika dihubungi berkata, selepas dimaklumkan tentang kematian ayah pelajar berkenaan, pihak sekolah menghubungi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk membolehkan murid berkenaan menjadi calon tumpang.

“Kita telah membuat permohonan rasmi selepas keluarga memohon agar pelajar itu dibenarkan menduduki kertas seterusnya, Bahasa Inggeris dan Sejarah di sekolah berhampiran.

“Saya sendiri bersama pihak PPD Seberang Perai Selatan menziarahi keluarga pelajar berkenaan selain memberikan sokongan emosi kepadanya semalam.

“Guru bertugas juga telah ditetapkan untuk menemani dan memberi sokongan, manakala kaunselor meneruskan intervensi psikososial bagi memastikan pelajar berada dalam keadaan stabil sepanjang peperiksaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast