KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan hari ini membangkitkan isu kekurangan anggota polis yang serius di daerah Hulu Langat.
Beliau berkata, jumlah kekuatan pasukan keselamatan ketika ini tidak sepadan dengan populasi hampir 1.5 juta penduduk di kawasan itu.
Katanya, daerah Hulu Langat hanya bergantung kepada dua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) iaitu IPD Kajang dan IPD Ampang Jaya, sedangkan jumlah penduduknya setanding sebuah negeri kecil.
“Hulu Langat hari ini ada hampir 1.5 juta orang. Di IPD Kajang, anggota polis yang ada hanya sekitar 1,200 orang. Jumlah sepatutnya menurut OCPD Kajang ialah 1,500 anggota. Kita kekurangan 300 anggota polis,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah beliau, perkara itu telah dimaklumkan pihak polis kepadanya dan ia memerlukan tindakan segera.
Mohd Sany, berkata kekurangan itu menyebabkan nisbah tanggungan seorang anggota polis menjadi terlalu tinggi.
“Sekarang seorang anggota polis terpaksa menjaga hampir 650 orang. Sepatutnya seorang anggota hanya menjaga sekitar 250 orang. Ini tidak lagi munasabah untuk kawasan yang pesat membangun,” katanya. – MalaysiaGazette
















