PAPAR – Insiden jambatan runtuh di Kampung Kaiduan, di sini, akibat kejadian banjir besar sejak tiga bulan lalu masih menghantui dan menimbulkan keresahan lebih 500 penduduknya yang masih terperangkap dan terputus hubungan dengan dunia luar.
Walaupun penduduk kampung terpaksa menggunakan laluan alternatif iaitu jambatan gantung, namun kemudahan itu yang dibina sejak 50 tahun lalu bukan sahaja tidak selamat, bahkan ia hanya boleh digunakan pejalan kaki sahaja.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, penduduk-penduduk Kampung Kaiduan tidak boleh menyeberang sungai menggunakan kenderaan, sekaligus menyukarkan mereka menjalani aktiviti harian termasuk ke sekolah, membeli barang keperluan dan menghantar orang sakit ke klinik dan hospital berdekatan.

Menurut salah seorang penduduk, Parmin Bakun, 61, sejak jambatan itu runtuh pada 13 September 2025, kebanyakan penduduk gagal menyeberang sungai, manakala kereta pula terkandas di dalam kawasan pedalaman itu.
“Buat masa ini disebabkan jambatan ini dihanyutkan air, penduduk Kampung Kaiduan telah mengalami sedikit gangguan untuk berurusan dengan klinik kesihatan dan pejabat daerah.
“Oleh kerana jambatan ini dihanyutkan air bah, jadi orang kampung tidak dapat berhubung begitu cepat sebab tiada laluan, kebanyakan kereta di rumah-rumah kampung terperangkap sepenuhnya,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di sini, baru-baru ini.
Pada 13 September lalu, banjir kilat menyebabkan 12 jalan di sini terputus hubungan, manakala enam jalan terjejas disebabkan cerun runtuh.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan 2,468 mangsa banjir daripada 656 keluarga berada di 19 PPS dan satu pusat pemindahan kekal (PPK) di Beaufort setakat 8 pagi.
Kejadian tanah runtuh yang berlaku sejak 13 September dan meragut 13 nyawa, di mana lima dari jumlah itu melibatkan kejadian di sini.

Susulan kejadian itu, Parmin menggesa kerajaan menyegerakan pembinaan jambatan baharu yang kini masih terganda sejak tiga bulan lalu.
“Buat masa ini sudah diajukan kepada pihak berkuasa seperti majlis daerah dan wakil rakyat berkenaan.
“Setakat ini belum dilaksanakan walaupun pihak berkuasa berkata akan diluluskan dengan segera.
“Kalau nak hantar budak-budak ke sekolah, kita ada satu jambatan gantung yang kecil buat masa ini, jambatan gantung dibuat 50 tahun lalu, jadi tak relevan.
“Jambatan gantung ini paling lama, pada asalnya jambatan gantung ini memang dibuat untuk pejalan kaki sahaja,” katanya.

Selain itu, kata Parmin, kontraktor terbabit dengan pembinaan jambatan baharu itu memberi alasan, faktor cuaca tidak menentu termasuk hujan berterusan menyukarkan kerja-kerja pembinaan dimulakan.
“Kerajaan berjanji apabila jambatan yang runtuh ini, dia kata nak buat secepat mungkin, oleh kerana cuaca tidak menentukan ketika ini, sampai sekarang jambatan baharu itu belum dilaksanakan, belum dimulakan pun,” katanya.

Bagi Guru besar Sekolah Kebangsaan Kaiduan, Uzair Kee Yahya, 53, mengakui ketiadaan jambatan ganti menyukarkan pihaknya untuk membawa barang-barang besar dan bekalan makanan ke asrama sekolah terbabit.
“Kalau nak angkut barang-barang besar ke sekolah, itu mendatangkan masalah kepada pihak sekolah.
“Kami terpaksa menggunakan jambatan gantung, tetapi hanya untuk kegunaan pelajar menyeberang sungai ke sekolah,” katanya.

Uzair berkata, selain untuk kegunaan warga sekolah, jambatan gantung yang baru dibina pada tahun ini terpaksa dikongsi bersama penduduk Kampung Kaiduan untuk menjalani aktiviti harian.
“Jambatan itu (runtuh) boleh digunakan untuk laluan kereta dan menghantar murid-murid ke sekolah. Bila jambatan itu runtuh, urusan untuk menghantar murid-murid melalui jambatan gantung inilah.
“Kalau ada orang sakit, memang akan jadi masalah, apatah lagi orang yang sakit terlantar, penduduk kampung memapah orang sakit menggunakan jambatan gantung ini,” katanya.

Uzair berharap pihak berkuasa dapat mempercepatkan pembinaan jambatan baharu di Kampung Kaiduan bagi meringankan beban warga sekolah dan penduduk kampung.
“Harapan saya supaya pembinaan jambatan baharu dapat disegerakan. Sekolah ini pernah dilanda banjir besar pada 15 September 2021. Jadi pada masa itu, jambatan gantung lama ini runtuh dan putus.
“Keadaan sekolah waktu itu sangat teruk, seluruh kawasan sekolah dipenuhi dengan lumpur,” katanya.

Sementara itu, guru Bahasa Inggeris Sekolah Kebangsaan Kaiduan, Jackson Lodius, 42, pula berkata, penduduk Kampung Kaiduan dan pihak sekolah bergantung sepenuhnya kepada jambatan utama yang runtuh itu.
“Sekarang pihak sekolah dan penduduk kampung terpaksa bergantung kepada jambatan gantung ini, itu pun terhad urusannya,” katanya.

Selain itu, kata Jackson, dia berterima kasih kepada pihak kerajaan yang membina jambatan utama, bagaimanapun runtuh dihanyutkan arus deras dan hanya sempat digunakan kira-kira tiga bulan sahaja.
“Orang cakap malang tak berbau kan, rezeki tak panjang, jadi selepas jambatan itu putus, memang menyukarkanlah penduduk kampung untuk meletakkan kereta di seberang sungai.
“Ramai juga penduduk kampung yang ketika itu tidak sempat mengeluarkan kereta, jadi jika berlaku kes-kes kecemasan ada penduduk yang terpaksa berjalan kaki jauh ke seberang menggunakan jambatan gantung ini,” katanya.

Lebih menyukarkan katanya apabila penduduk kampung mahu membawa hasil tani mereka ke bandar dan pekan terdekat untuk dijual.
“Dari segi pengangkutan untuk membawa komoditi seperti jual hasil-hasil tanaman, memang sangat sukar sebab kenderaan tidak boleh menyeberang (sungai),” katanya.

Walaupun kerajaan ada membina titi sementara, namun ia juga dihanyutkan arus deras dan menyukarkan penduduk mengalihkan kenderaan di seberang sungai.
“Kerajaan hari itu memang sangat segera membina titian sementara, laluan sementara dan pada ketika itu ramai penduduk kampung berjaya mengeluarkan kenderaan.
“Tapi sayangnya cuaca pada ketika itu memang tidak mengizinkan, sehari dua hari selepas itu cuaca buruk, laluan itu runtuh semula.
“Tapi memang kerajaan pada ketika itu memang prihatin dan membuat laluan sementara, sangat pantas ketika itu selepas jembatan tu terputus lah hari itu,” katanya.

Jackson menggesa pihak kuasa agar mempercepatkan pembinaan jambatan utama yang menghubungkan kediaman penduduk Kampung Kaiduan secepat mungkin.
“Kerajaan pun baru-baru ini telah datang sini, menteri telah datang sini sendiri untuk meninjau kawasan ini, dan syukur daripada media pun kita telah perhatikan kerajaan telah memperuntukkan jambatan Bailey di sini.
“Timbalan Perdana Menteri kata jambatan Bailey itu sedang dalam proses pembinaan dan dijangka mengambil masa dalam beberapa bulan, kalau saya tak silap hari itu lima bulan.
“Kita berharap dengan cuaca ni agar terus baik, dan jambatan itu akan mampu disiapkan dengan cepat,” katanya. – MalaysiaGazette
















