Gambar hiasan

SETIAP kali bulan November tiba, masyarakat di negara kita lazimnya bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh. Bulan ini sering dikaitkan dengan hujan lebat, ribut petir dan angin kencang seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia). Amaran-amaran daripada pihak MetMalaysia ini penting kerana banjir bukan sahaja boleh merosakkan harta benda dan mengancam nyawa, malah menjejaskan hubungan darat apabila jalan raya rosak atau tenggelam.

Kajian di seluruh dunia menunjukkan tindakan memandu meredah banjir merupakan antara punca utama kematian ketika bencana berlaku. Di Australia, hampir separuh kematian akibat banjir antara tahun 1960 hingga 2015 melibatkan kenderaan. Statistik di Amerika Syarikat menunjukkan 60–70 peratus kematian banjir berkaitan dengan kenderaan, manakala negara-negara Eropah melaporkan sekitar 30–40 peratus. Banyak insiden berlaku kerana pemandu memilih untuk memasuki kawasan banjir tanpa menyedari risikonya atau terperangkap apabila paras air naik secara mendadak.

Kajian turut mendapati bahawa pemandu sering meremehkan risiko kerana menganggap keadaan tidak seteruk amaran cuaca, yakin pada kemampuan kenderaan, atau percaya bahawa mereka “tidak akan menjadi mangsa keadaan”. Ada juga yang berasa tertekan untuk segera sampai ke destinasi atau dipengaruhi oleh penumpang.

Hakikatnya, keputusan untuk memasuki kawasan banjir adalah amat berbahaya, terutama apabila kedalaman air tidak diketahui. Paras air sukar dianggarkan, lebih-lebih lagi pada waktu malam. Ada kalanya jalan yang ditenggelami air telah runtuh atau jambatan yang dilalui sudah rosak. Banjir kilat pula menyebabkan keadaan berubah dari jalan kering kepada tenggelam dalam jarak yang sangat dekat.

Dari sudut fizikal, kenderaan mudah kehilangan kawalan apabila bergerak laju di atas lapisan air (fenomena penyatahan air) terutama jika tayar kenderaan itu haus. Kajian oleh Tinjauan Geologi Amerika Syarikat menunjukkan air sedalam 300 milimeter mampu menghasilkan daya sisi sebanyak 230 kilogram metrik ke atas sesebuah kenderaan. Apabila kenderaan mula terapung, kawalan stereng hilang dan arus mampu menolak atau membalikkan kenderaan.

Kenderaan yang terendam pula hanya terapung selama 30 hingga 120 saat sebelum tenggelam sepenuhnya dalam beberapa minit. Tekanan air, kerosakan tingkap elektrik atau pintu terkunci boleh menghalang penumpang keluar. Air sedalam 150 milimeter yang
mengalir deras sudah cukup untuk menghanyutkan manusia, menyebabkan risiko lemas meningkat.

Ironinya, ramai beranggapan bahawa SUV lebih selamat meredah banjir, namun saiz besar dan roda yang tinggi sebenarnya menjadikannya lebih mudah terapung. Air sedalam 150 milimeter sudah memadai untuk mengurangkan cengkaman tayar, manakala 300 milimeter cukup untuk mengapungkan kebanyakan kereta. Air setinggi 600 milimeter pula berbahaya walaupun bagi kenderaan bersaiz besar.

Risiko lain yang sering dipandang ringan ialah kunci-hidro (hydrolock) yang berlaku apabila air memasuki enjin dan menghalangnya daripada berfungsi. Jika enjin mati di tengah banjir, pilihan untuk berpatah balik tiada. Cuba menghidupkan semula enjin juga boleh menyebabkan kerosakan kekal. Oleh itu, sebaiknya cari laluan alternatif jika jalan yang kita hendak lalui itu dinaiki air.

Selain itu, elakkan memandu berhampiran talian elektrik yang tumbang atau kawasan dengan objek hanyut. Jika memandu dalam air setinggi rim tayar, uji brek pada kelajuan rendah dan keringkan jika ia tidak berfungsi sempurna. Telefon hanya digunakan untuk kecemasan. Jika kenderaan terhenti dan air semakin meningkat, tinggalkan kenderaan dengan segera. Buka pintu atau tingkap, atau pecahkan tingkap menggunakan alat kecemasan jika perlu. Hubungi talian 999 jika tidak dapat keluar.

Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Australia telah melaksanakan kempen “Turn around, don’t drown” dan “If it is flooded, forget it” bagi mengubah tingkah laku pengguna jalan raya. Malaysia juga wajar melaksanakan kempen seumpamanya, lebih-lebih lagi dengan purata taburan hujan tahunan yang tinggi.

Sebelum keluar rumah, orang ramai adalah disarankan menyemak ramalan cuaca dan merancang laluan alternatif jika keadaan tidak mengizinkan. Bahaya meredah banjir tidak boleh dipandang remeh kerana satu keputusan yang silap boleh mengundang tragedi.

Oleh: Prof. Prof Ts. Ir. Dr Nur Izzi Md Yusoff
Jabatan Kejuruteraan Awam
Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina
Universiti Kebangsaan Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast