Mohd Na’im bertanyakan sesuatu kepada tujuh pelajar yang muncul sebagai kumpulan pertama memperoleh keputusan tertinggi dalam Penilaian Ithbat KAFA Pra-Tahfiz, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada majlis pengumuman keputusan penilaian berkenaan di Putrajaya, hari ini.

KUALA LUMPUR – Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan, soal kepimpinan serta lantikan anggota Kabinet adalah hak mutlak Perdana Menteri dan beliau menyerahkan sepenuhnya keputusan tersebut kepada kebijaksanaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu ketika diminta mengulas mengenai kedudukannya sebagai Senator sama ada telah menerima sebarang “surat” berhubung perkara itu berkata, ketentuan mengenai kepimpinan adalah urusan Allah S.W.T.

Beliau merujuk kepada firman yang membawa maksud Allah memberi dan menarik balik kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

“Pelantikan anggota Kabinet adalah prerogatif Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya serahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan beliau untuk menentukan siapa yang akan berada dalam Kabinet,” katanya selepas Majlis Pengumuman Keputusan Ithbat KAFA Pra-Tahfiz (IKP) Tahun 2025, di sini, hari ini.

Beliau menambah, komitmennya untuk kekal menjalankan tugas dengan penuh amanah sehingga akhir tempoh yang ditetapkan.

“Saya akan terus bekerja dengan penuh amanah hingga ke penghujung, seperti yang saya maklumkan kepada ketua-ketua agensi.

“Selagi saya diberi kepercayaan, saya akan menjalankan tugas hingga 2 haribulan ini,” katanya.

“Sekurang-kurangnya akan berlaku dua kekosongan selepas 2 Disember ini, apabila tempoh pelantikan kali kedua dan terakhir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai senator tamat.

Tempoh tiga lagi menteri yang juga senator iaitu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Mohd Na’im juga akan berakhir pada tarikh sama.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka masih dalam penggal pertama dan berkemungkinan besar akan disambung untuk tempoh tiga tahun lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast