Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap Albert Tei di Balai Polis Sandakan, Sabah hari ini. - Foto: FB Shamsul Iskandar Mohd Akin

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ini membuat laporan polis terhadap ahli perniagaan, Albert Tei.

Menurut Shamsul Iskandar, laporan itu susulan kenyataan yang didakwa sebagai tohmahan dan tuduhan fitnah kononnya ada arahan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuat rakaman mengenai beberapa ahli politik Sabah.

Menurutnya, tuduhan itu jelas satu konspirasi jahat untuk memburukkan imej perdana menteri dan usaha terancang untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik, apatah lagi pada musim kempen Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah yang sedang berlangsung ketika ini.

“Saya tidak akan membiarkan mana-mana individu menggunakan nama saya atau jawatan saya sebelum ini untuk cuba menjatuhkan kerajaan atau mencemarkan nama baik perdana penteri.

“Saya yakin pihak PDRM akan memulakan siasatan segera, dan sedia memberi kerjasama bagi siasatan oleh mana-mana badan penguatkuasaan termasuk SPRM,” katanya yang membuat laporan polis itu di Balai Polis Sandakan, Sabah, pukul 5 petang tadi.

Semalam, Shamsul Iskandar yang dikaitkan dengan mengeluarkan surat sokongan untuk projek pembinaan hospital dan menerima lebih RM600,000 daripada Albert mengumumkan perletakan jawatan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri.

Beliau yang menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Anwar pada pagi semalam berkata, keputusan tersebut diambil untuk mempertahankan diri daripada serangan yang dilakukan yang boleh merosakkan imej Kerajaan Madani. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast