KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengambil tindakan undang-undang secepat mungkin terhadap Albert Tei dan menyerahkan segala dakwaan dibuat oleh ahli perniagaan berkenaan terhadapnya kepada mahkamah untuk membuat keputusan.
Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, sekiranya tindakan saman itu tidak diambil, Pas dan Perikatan Nasional (PN) akan berterusan memainkan isu tersebut sebagai modal politik, sekali gus mengalih perhatian negara daripada perkara lebih penting.
Dalam masa sama, ujar Ahli Parlimen PKR Pandan berkenaan, kontroversi yang tercetus ketika ini hanya boleh diselesaikan di mahkamah.
“Akhirnya, bola berada di kaki perdana menteri.
“Penting untuk beliau mengambil tindakan undang-undang dengan segera kerana isu ini akan kekal sebagai situasi “kata dia, kata saya” selagi tiada bukti kukuh dikemukakan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Rafizi berkata, bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin juga sepatutnya mengambil tindakan undang-undang di mahkamah sivil untuk membersihkan namanya, dan kegagalan berbuat demikian hanya akan menguatkan dakwaan yang dibuat oleh Albert.
Malah, tambah beliau, pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bertindak segera untuk menyiasat dan sekiranya ada asas kes, kedua-dua pihak perlu didakwa atas tuduhan rasuah.
Dari segi politik pula, tambah Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi, situasi yang berlaku ketika ini adalah lebih rumit.
Ujarnya, tanpa mengira apa yang akan berlaku di mahkamah lebih-lebih lagi jika tiada tindakan diambil, maka pendedahan Albert telah memberikan tamparan hebat kepada kerajaan dan kredibiliti Anwar.
Menurut beliau, sekiranya Anwar mengambil tindakan tegas dengan menyingkirkan Shamsul Iskandar ketika kontroversi surat sokongan timbul minggu lalu, Perdana Menteri mungkin boleh menjauhkan diri daripada kesan pendedahan ketika ini.
“Pada ketika ini, saya tidak nampak cara cepat yang boleh diambil oleh Perdana Menteri untuk mengurangkan kerosakan terhadap kredibilitinya.
“Dalam keadaan paling buruk, para pengkritiknya akan menggunakan episod ini terhadap beliau pada masa hadapan setiap kali beliau bercakap tentang usaha memerangi rasuah.
“Dalam keadaan terbaik, orang ramai mungkin meragui pertimbangan beliau dalam menghakimi watak dan akhlak orang yang dipilih berada di sekelilingnya, memandangkan beberapa kali beliau meletakkan kepercayaan kepada individu yang reputasinya dipersoalkan sepanjang kerjaya beliau,” katanya.
Sementara itu, Rafizi turut berharap Anwar tidak memandang rendah gelombang kekecewaan dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan (PH) dan masyarakat umum akibat episod kontroversi yang berlaku ketika ini.
Dalam masa sama, tambahnya, beliau tidak mahu bertindak melulu dengan menerima bulat-bulat apa yang didedahkan di dalam video yang mendakwa Anwar berada di belakang usaha merakam video Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GRS.
Setakat ini, ujar beliau, semua itu masih kekal sebagai dakwaan serta khabar angin dan dakwaan tersebut perlu disiasat secara bebas dan segera.
“Sukar untuk Albert Tei membuktikan dakwaannya melebihi andaian yang dibuat dalam video itu, melainkan beliau mempunyai rakaman pertemuan dengan Perdana Menteri yang jelas merakamkan arahan sedemikian,” katanya. – MalaysiaGazette
















