Sesi bergambar bersama selepas sesi Program Pelepasan Ketam Bakau di Tasik Sitompok.

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melepaskan sebanyak 4,093 benih ketam bakau di Tasik Sitompok Kuala Penyu, baru-
baru ini.

Program tersebut adalah hasil kerjasama strategik antara Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) dan Jabatan Perikanan Negeri Sabah (JPNS), bagi menyokong kelestarian biodiversiti pesisir pantai serta memastikan kesinambungan ekosistem marin di Sabah.

Perasmian program ini disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly.

Menurut Rosalam, UMS komited dalam memberi keutamaan kepada usaha konservasi berasaskan data dan bukti saintifik yang kukuh, khususnya dalam memastikan kelestarian sumber perikanan.

“Inisiatif tersebut merupakan manifestasi semangat kolaborasi ‘Triple Helix’ yang melibatkan kerjasama strategik antara pihak akademik, kerajaan, dan komuniti setempat.

“Program ini bukan sekadar aktiviti bermusim, tetapi hasil penyelidikan menyeluruh yang merangkumi teknik pembenihan optimum, penilaian kesihatan ekosistem serta pendekatan pengurusan perikanan mampan.

“Usaha penyelidikan berterusan ini penting bagi menjamin kelangsungan pendapatan masyarakat Kuala Penyu yang bergantung kepada sumber pesisir pantai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah JPNS, Matlan @ Abd. Rahim Thaufeck menyifatkan ketam bakau sebagai ‘jurutera ekosistem’ yang memainkan peranan penting dalam kitaran nutrien dan keseimbangan ekologi kawasan bakau.

“Pelepasan benih ini adalah langkah stock enhancement bagi memulihkan populasi ketam bakau yang semakin berkurangan.

Pembenihan dijalankan secara intensif bermula Ogos 2025 di Hatceri Pusat Pembenihan Ikan Marin Sabah, Tuaran, bagi memastikan kualiti genetik dan kadar kelangsungan yang lebih baik,” tambahnya.

Pelepasan fasa pertama telah dilakukan pada 12 November tahun ini melibatkan 1,527 benih, manakala fasa kedua pada 19 November melibatkan 2,566 benih ketam bakau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast