KUALA LUMPUR – Seramai 29,400 mangsa daripada 10,193 keluarga dipindahkan ke 216 pusat pemindahan sementara (PPS) di 35 daerah membabitkan tujuh negeri susulan hujan lebat berterusan sejak Monsun Timur Laut (MTL) bulan ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kanak-Kanak Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sehingga pukul 8 pagi hari ini sebanyak tiga daerah di Kelantan masing-masing Tumpat, Kota Bharu dan Bachok mencatatkan bilangan kemasukan ke PPS tertinggi di seluruh negara.
“Pemantauan situasi bencana ini dilaksanakan melalui pelbagai platform pemantauan dan data bagi penyelarasan secara real-time antara agensi terbabit dengan seramai 103,500 anggota daripada pelbagai agensi bersiap siaga.
“Selain itu, hampir 4,000 aset darat, air dan udara termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga mengaktifkan 9,058 PPS dengan kapasiti untuk menempatkan 2.2 juta mangsa di seluruh negara dengan tiga pusat pemindahan kekal bencana sedia digunakan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau yang mewakili Perdana Menteri menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mengenai status terkini situasi banjir di setiap negeri dan langkah kesiapsiagaan kerajaan menghadapi musim tengkujuh.
“Kerajaan pusat juga bekerjasama rapat kerajaan negeri sentiasa komited membantu mangsa yang terjejas terutama dalam membina semula kehidupan selepas selepas bencana banjir.
“Namun begitu kesedaran awam terhadap kepentingan dan tanggungjawab pengurusan banjir perlu bermula dari peringkat masyarakat selaku responden pertama perlu terus ditekankan, diterap dan dipupuk,” katanya. – MalaysiaGazette
















