Keadaan blok kediaman Wang Fuk Court di daerah Tai Po, Hong Kong yang terbakar dan mengorbankan 168 nyawa, foto AFP

HONG KONG – Jumlah korban maut akibat kebakaran terburuk di bandar itu dalam beberapa dekad telah meningkat kepada 65 orang, ketika anggota bomba meneliti bangunan tinggi yang hangus di sebuah kompleks pangsapuri bagi mencari lebih 250 orang yang disenaraikan sebagai hilang.

Api masih kelihatan di beberapa unit daripada hampir 2,000 unit di lapan bangunan kawasan perumahan itu lebih 24 jam selepas kebakaran bermula, dengan pasukan bomba masih menyembur air ke bahagian luar yang sudah hitam.

Pihak berkuasa telah memulakan penyiasatan mengenai punca kebakaran buruk itu termasuk kewujudan perancah buluh dan jaring plastik yang membalut bangunan sebagai sebahagian daripada kerja baik pulih seluruh kawasan.

Badan anti-rasuah Hong Kong mengatakan mereka melancarkan siasatan terhadap kerja pengubahsuaian di kompleks perumahan itu, beberapa jam selepas polis menahan tiga lelaki yang disyaki cuai kerana meninggalkan bungkusan buih (foam packaging) di tapak kebakaran.

Penduduk Wang Fuk Court, yang terletak di daerah utara Tai Po, Hong Kong, memberitahu AFP mereka tidak mendengar sebarang penggera kebakaran dan terpaksa pergi dari pintu ke pintu untuk memberi amaran kepada jiran tentang kebakaran yang berlaku.

“Kebakaran merebak dengan sangat cepat. Saya melihat satu hos cuba memadam api di beberapa bangunan, dan saya rasa ia terlalu perlahan.

“Menekan loceng, mengetuk pintu, memberi amaran kepada jiran, memberitahu mereka supaya keluar — itulah keadaan ketika itu,” kata seorang lelaki bernama Suen.

Api yang marak akhirnya berjaya dipadamkan di empat daripada lapan blok pangsapuri dan kebakaran di tiga lagi berada di bawah kawalan, kata pegawai pada petang Khamis.

Satu bangunan tidak terjejas.

Daripada 65 orang yang disahkan maut sehingga jam 8 malam waktu tempatan (1200 GMT) Khamis, seorang ialah anggota bomba berusia 37 tahun dan dua lagi ialah warga Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah.

Ini merupakan kebakaran paling dahsyat di Hong Kong sejak tahun 1948, apabila satu letupan diikuti kebakaran mengorbankan 135 orang.

Namun jumlah korban mungkin meningkat lagi, dengan ketua eksekutif John Lee berkata, 279 orang masih belum dapat dikesan.

Namun, pasukan bomba kemudian mengatakan bahawa mereka telah berjaya menghubungi sebahagian daripada mereka.

Pihak berkuasa belum mengemas kini angka itu.

Di sebuah pusat komuniti berhampiran, polis memaparkan gambar mayat yang dikeluarkan dari kebakaran untuk tujuan pengecaman.

“Jika wajah tidak dapat dikenal pasti, ada barang peribadi untuk membantu pengecaman. Saya tidak dapat menggambarkan perasaan saya. Ada kanak-kanak… saya tidak dapat menggambarkannya,” kata Cheung yang sedang mencari ahli keluarganya.

Jurucakap kerajaan memberitahu AFP pada malam Khamis, daripada mereka yang dirawat di hospital, 12 berada dalam keadaan kritikal, 29 serius dan 17 stabil.

Pihak berkuasa bandar juga berkata mereka sedang mengatur penginapan sementara dan dana kecemasan untuk mereka yang terjejas.

Aktiviti berkaitan pilihan raya perundangan Hong Kong yang dijadual berlangsung pada 7 Disember juga telah digantung.

Lebih 900 orang mencari perlindungan di pusat sementara sepanjang malam, kata pihak berkuasa.

Sebahagian penduduk di blok bersebelahan yang dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga dibenarkan pulang ke rumah pada petang Khamis. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast