Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Negara berdepan risiko besar kehilangan akses pasaran Amerika Syarikat (AS) dengan nilai eksport hampir RM200 bilion dengan kelangsungan lebih sejuta pekerjaan dan 7,700 perusahaan kecil dan sederhana sekiranya Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-AS tidak dimeterai.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini kerana terdapat risiko keruntuhan rantaian bekalan dan pengalihan pelaburan bernilai besar ke negara lain.

“Oleh itu, dengan ART ini, pandangan kita, pandangan kerajaan Malaysia dapat mengekalkan daya saing kita terutamanya daya saing global, melindungi eksport bernilai tinggi terutama dalam sektor elektrik dan elektronik dan semikonduktor serta memberi keyakinan kepada pelabur,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi taklimat kepada Mesyuarat Kaukus Khas Parlimen mengenai ART di sini hari ini.

Tengku Zafrul menambah, jumlah eksport ke AS pada 2024 merekodkan hampir RM200 bilion manakala pada 2025 melebihi RM200 bilion.

Menurutnya, perjanjian ART adalah mekanisme perlindungan ekonomi negara dan dipersetujui dengan pertimbangan yang mendalam dan dakwaan bahawa ART menguntungkan AS semata-mata adalah tidak benar.

Ini kerana jelas beliau, ART sebenarnya turut melindungi eksport Malaysia daripada tindakan tarif unilateral di mana Malaysia sebagai negara pengeksport bersih memperoleh faedah yang besar melalui kepastian akses pasaran AS.

“Dakwaan bahawa ART akan mengikat dasar Malaysia juga tidak tepat memandangkan ART tidak memerlukan Malaysia meliberalisasi tarif atau membuka pasaran secara tidak seimbang, dan ia tidak menyentuh isu sensitif seperti makanan, data, pertahanan atau keselamatan dalaman,” katanya.

Mengulas dakwaan bahawa ART menjejaskan hubungan Malaysia-China, Tengku Zafrul memberitahu, ART adalah perjanjian perdagangan dan bukannya perjanjian pakatan geopolitik.

“Oleh itu, kita terus kukuhkan akses kita kepada pasaran lain seperti Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA3.0), Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan platform ASEAN-China,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast