Menteri Luar Negeri yang juga Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 05 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Seramai 500 rakyat Malaysia masih lagi terkandas di Hatyai Thailand sehingga semalam berikutan bencana banjir di wilayah itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hampir 27,199 rakyat malaysia telah pulang dari Thailand sejak 22 hingga 25 November lalu.

“Laporan saya terima pagi ini, seramai 177 lagi rakyat Malaysia telah pun diselamatkan pagi ini dan lebih 700 rakyat negarai ini telah dipindahkan ke Bukit Kayu Hitam, Kedah setakat semalam.

“Jabatan Imigresen merekodkan 2,204 rakyat Malaysia menyeberangi sempadan di Bukit Kayu Hitam,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) mengenai usaha kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia yang terkandas di Selatan Thailand akibat banjir.

Sementara itu, Mohamad memberitahu, ketika ini terdapat sekumpulan pensyarah dan pelajar Malaysia masih terperangkap di sebuah hotel di bandar lama Hatyai.

Jelas beliau, kawasan tersebut berhampiran sungai dan arus yang amat deras menyebabkan tiada kenderaan boleh memasuki kawasan berkenaan.

Mohamad turut menghubungi rakan sejawatnya dari Thailand, Sihasak Phuangketkeow untuk menawarkan bantuan pasukan penyelamat dari Malaysia, namun dimaklumkan pihak berkuasa Thailand boleh menguruskan situasi di sana.

“Sukarelawan kita banyak ke sana, termasuk dari Kedah, Perlis dan Utara Perak serta badan bukan kerajaan (NGO) lain,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast