TUARAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui bukan mudah untuk mencari hasil 40 peratus yang perlu dipulangkan kepada Sabah.
Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan perlu menyemak semula Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kerana ia melibatkan berbilion ringgit.
“Ini cakap 40 peratus. Pusing sana sini. Kerajaan negeri bawa kes.
“Bukan senang mahu cari 40 peratus. Ini billion-billion (ringgit), bukan RM20 juta, hari ini saya boleh sign (tandatangan).
“Ini billion. Jadi saya kena bincang. Tengok agreement, oh betul,” katanya, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau hadir ke program Temu Rapat Pimpinan Masyarakat Tempatan dan Sahabat Usahawan Tuaran di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah, Lok Batik, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor selaku calon GRS N12 Sulaman dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, hanya Kerajaan GRS dan Kerajaan Madani yang komited melaksnakan MA63 termasuk 40 peratus hasil Sabah.
“Dulu ada tunai? Perdana Menteri ada dulu tunai? Kerajaan dulu ada tunai? Kerajaan siapa dulu ada cakap soal ini?
“Ini yang kerajaan sekarang (GRS) yang bangkit dan kita tunaikan,” katanya.
Anwar berkata, beliau sudah lama mengenali Datuk Seri Hajiji Noor dan Ketua Menteri itu konsisten dengan pendirian dalam membantu dan memperjuangkan kepentingan rakyat.
“Dia jaga semua. Betul dia di Sulaman, tapi di Keningau, tanggungjawab dia, di Tawau, tanggungjawab dia.
“Baru boleh jadi Ketua Menteri yang baik. Jadi saya harap yang 40 peratus itu, kita laksanakan,” katanya.
Selain itu, Anwar menegaskan hanya kerjasama baik antara pimpinan Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan mampu penyelesaian isu 40 peratus hasil Sabah.
“Saya bawa dalam Jemaah Menteri. Maknanya apa? Maknanya kerja Ketua itu penting. Kalau tidak, kami tuntut.
“Tuntutlah apa-apa, aku tak peduli. Tapi kamu berbaik dengan saya, bincang baik-baik, kami tuntut. Oh betul, saya yang sebut di Jemaah Menteri, saya sebut di Parlimen.
“Di Parlimen saya umum. Kerajaan Persekutuan akan menghormati komitmennya dan akan melaksanakan 40 peratus dengan segera,” katanya lagi. -BMalaysiaGazette
















