Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyifatkan dakwaan ahli perniagaan Albert Tei terhadap bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sebagai `pendedahan korupsi berisiko tinggi’.

Ini kerana, menurut Presidennya, Jais Abdul Karim, dakwaan itu melibatkan akses terus kepada Perdana Menteri, selain kemungkinan wujudnya unsur cash for access.

Selain itu, katanya, dakwaan tersebut juga memperlihatkan potensi penyalahgunaan kuasa oleh individu yang berada dekat dengan pusat kuasa, serta kelemahan kawal selia terhadap lantikan politik.

Sehubungan itu, tegas beliau, dakwaan tersebut tidak boleh dipandang enteng, sebaliknya perlu disiasat segera.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti menunjukkan bahawa undang-undang adalah sama untuk semua, termasuk pegawai yang berada paling dekat dengan Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Jais berkata, kontoversi tersebut membuktikan bahawa wujud kelemahan ketara dalam sistem integriti dan kawalan dalaman Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Sehubungan itu, katanya, MCW mengesyorkan supaya kerajaan melaksanakan Pelan Reformasi Integriti Pejabat Perdana Menteri (PMO-IRP) termasuk perisytiharan aset tahunan; larangan menerima sumbangan, hadiah atau `tajaan korporat dan semua pertemuan melibatkan usahawan direkodkan secara rasmi.

Selain itu, katanya, audit bebas ke atas pejabat dan pegawai politik juga perlu dilakukan di samping mekanisme pelaporan dalaman yang dilindungi serta semakan latar belakang individu (background check) sebelum pelantikan.

Dalam masa sama, tambah Jais, MCW turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memastikan tiada kompromi terhadap integriti; tiada perlindungan politik terhadap pegawai yang disiasat dan semua dakwaan disiasat secara terbuka dan profesional.

“MCW tidak memihak kepada mana-mana parti atau mana-mana individu, apa jua dakwaan melibatkan pegawai politik kanan mesti disiasat dengan ketelusan penuh; proses yang adil dan keputusan yang bebas daripada pengaruh politik.

“Kredibiliti kerajaan bergantung kepada keberanian bertindak, bukan kenyataan semata-mata,” katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan, ini merupakan masa untuk Kerajaan MADANI menunjukkan Malaysia benar-benar serius dalam melawan rasuah, tanpa mengira kedudukan atau pangkat.

“Jika kerajaan ingin mengekalkan keyakinan rakyat, tindakan mesti mengatasi persepsi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast