Gambar hiasan oleh MUHAIMIN MARWAN

KUALA LUMPUR – Para pelajar yang bersalah kerana terlibat dalam pergaduhan melibatkan sekumpulan murid di sebuah sekolah di Kedah telah dibuang dan digantung sekolah.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah berkata, mengambil serius insiden pergaduhan melibatkan sekumpulan murid di sebuah sekolah di negeri ini.

Menurutnya, kes ini telah diambil tindakan oleh pihak berkuasa dan sekolah juga telah selesai menjalankan siasatan dalaman yang menyeluruh.

“Hukuman tegas gantung sekolah dan buang sekolah telah diambil ke atas murid yang bersalah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

JPN Kedah menegaskan, pihaknya tiada kompromi terhadap isu buli, keganasan dan salah laku murid dan semua institusi pendidikan di negeri tersebut diminta mematuhi prosedur pengurusan disiplin semasa, mengutamakan keselamatan murid dan melaksanakan intervensi pencegahan bagi memastikan kesejahteraan seluruh warga pendidikan terpelihara.

Terdahulu, empat pelajar ditahan untuk membantu siasatan berhubung kejadian seorang pelajar lelaki dipukul hingga pengsan sebelum ditemui dalam tandas asrama sekolah.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, mengesahkan penahanan empat pelajar berusia 16 hingga 17 tahun itu susulan kejadian yang dilapor berlaku tengah malam Isnin lalu.

“Setakat ini seorang daripada empat pelajar terbabit iaitu yang berusia 16 tahun direman di Mahkamah Sungai Petani untuk membantu siasatan, manakala tiga yang lain dilepaskan,” katanya melalui kenyataan.

Mengulas kejadian itu, beliau berkata ibu mangsa menerima panggilan daripada guru sekolah Isnin lalu pada jam 9.05 pagi, memaklumkan anaknya ditemui pengsan dalam tandas sekolah itu.

Pelajar itu kemudian dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan.

“Ibu mangsa memaklumkan, anaknya memberitahu dia dipercayai dipukul beberapa pelajar kira-kira jam 12.10 tengah malam Isnin lalu sehingga pengsan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

Pelajar tingkatan empat ditemukan pengsan dalam tandas asrama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast