Helmi Aris.

BUKIT MERTAJAM – Polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas dadah jenis heroin serta menyita pelbagai harta dengan nilai keseluruhan RM308,112 dalam serbuan di kawasan Perai di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, suspek berusia 31 tahun itu ditahan bersama satu bungkusan plastik lutsinar mengandungi heroin seberat 459 gram bernilai RM11,475.

Katanya, hasil risikan mendapati suspek aktif kegiatan pengedaran heroin itu aktif sejak tiga bulan lalu dan jumlah rampasan boleh digunakan oleh seramai 2,295 penagih.

“Selain rampasan dadah, kita juga menyita pelbagai harta meliputi sebuah kereta, tiga buah motosikal serta barang kemas termasuk cincin, subang, rantai dan gelang bernilai keseluruhan RM296,637 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya.

Tambah Helmi, ujian air kencing ke atas suspek negatif namun semakan mendapati dia mempunyai dua rekod lampau kesalahan dadah dan dua rekod lampau kesalahan jenayah.

“Suspek direman tujuh hari sehingga 3 Disember ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast