KUALA LUMPUR – Malaysia hanya bertindak sebagai pemudah cara dalam usaha kedua-dua negara melaksanakan gencatan senjata dengan cuba menyelesaikan pertikaian sempadan kedua-dua negara itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan sebaliknya menegaskan, isu campur tangan dalam konflik sempadan itu tidak timbul kerana kerajaan menjunjung semangat ASEAN dalam hal ehwal negara ahli dalam organisasi serantau itu.
Menurutnya, protes yang diadakan rakyat Thailand yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan dalam konflik itu baru-baru ini merupakan modal parti pembangkang berdepan pilihan raya di negara itu tidak lama lagi.
“Mengatakan Malaysia khususnya Perdana Menteri campur tangan itu adalah satu perkara yang amat salah kerana Malaysia tidak pernah campur tangan.
“Sejak dahulu lagi, kita menjunjung semangat ASEAN iaitu tidak ada campur tangan dalam hal ehwal negara ahli dalam ASEAN.
“Protes itu dijadikan modal oleh parti pembangkang yang kecil jumlahnya. Jadi jangan pula kita di Malaysia terikut-ikut, kurang orang, kita pula yang lebih mengatakan Perdana Menteri kita campur tangan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail mengenai pendirian Malaysia susulan protes di Bangkok berkaitan dakwaan campur tangan Perdana Menteri dalam konflik Thailand-Kemboja serta implikasinya terhadap imej Malaysia.
Minggu lalu, media melaporkan, sekumpulan individu yang mengibarkan bendera kebangsaan Thailand dan sepanduk tiba di Kedutaan Malaysia di Bangkok dan menuduh Anwar sebagai Pengerusi ASEAN mencampuri usaha Thailand untuk menjaga kedaulatannya.
Mereka menuntut beliau tidak memberi tekanan kepada Thailand untuk berunding dengan Kemboja mengenai kawasan sempadan yang dipertikaikan.
Kumpulan itu mengkritik Anwar atas dakwaan ‘campur tangan politik’ dan mendakwa Malaysia serta Amerika Syarikat (AS) cuba memberi pengaruh yang tidak wajar terhadap keputusan Thailand.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, ketika Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN pada Julai lalu, beliau sendiri mengadakan pertemuan kedua-dua Menteri Luar Thailand dan Kemboja supaya dapat duduk semeja serta berunding menyelesaikan konflik itu.
“Kita selalu melaungkan bahawa rantau ASEAN ini aman, sejahtera, bebas dan berkecuali tetapi apa rupanya jika kedua-dua buah negara ini bertelagah berkenaan sempadan,” katanya. – MalaysiaGazette
















