Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Nancy Shukri pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 12 NOVEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyediakan peruntukan RM7 juta bagi menampung perbelanjaan segera untuk semua negeri dan agensi berkaitan bagi memastikan koordinasi dan operasi tindak balas berjalan lancar sepanjang tempoh monsun timur laut (MTL).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, peruntukan disalurkan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) termasuk bagi tujuan pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) yang mula dilaksanakan bermula musim MTL 2025-2026.

“Ini penting kepada mereka yang jadi mangsa bencana ini di mana pembayaran BWI akan dibuat berdasarkan pendaftaran ketua isi rumah (KIR) mangsa bencana, melalui sistem MyInfo Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bayaran akan dibuat secara terus kepada KIR oleh Bank Simpanan Nasional selaku bank pembayar yang dilantik dalam tempoh satu ke tiga hari selepas pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup,” katanya.

Beliau mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Nancy berkata demikian menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) yang antara lain mahu tahu sama ada kerajaan bersedia memberikan insentif bantuan kewangan kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu ketika banjir di seluruh negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast