KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta seorang wanita yang dikaitkan dalam sebuah klip video melibatkan perbualan bersama ahli perniagaan, Albert Tei, yang tular semalam hadir ke pejabat suruhanjaya itu bagi memberi keterangan.
Menurut SPRM, kehadiran wanita itu penting bagi membantu siasatan kes yang melibatkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mat Akin.
“SPRM kini sedang berusaha mengesan wanita berkenaan dan meminta agar individu ini dapat hadir ke pejabat SPRM pada 1 Disember 2025,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menerusi kenyataan berkata, pihaknya akan menyiasat segera tohmahan pemberian rasuah Albert yang merupakan ahli perniagaan kepada Shamsul Iskandar.
Menurut beliau, SPRM akan memanggil Albert dan Shamsul Iskandar dalam masa terdekat bagi memberi keterangan.
Terdahulu, Shamsul Iskandar yang dikaitkan dengan mengeluarkan surat sokongan untuk projek pembinaan hospital dan menerima lebih RM600,000 daripada Albert mengumumkan perletakan jawatan.
Sementara itu, menurut kenyataan tersebut, SPRM telah menghubungi Albert dan meminta individu ini hadir ke Pejabat SPRM pada tarikh yang sama. – MalaysiaGazette
















