KOTA KINABALU – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekali lagi menyelar Presiden parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkenaan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Setiausaha GRS, Datuk Armizan Mohamad Ali berkata, Shafie disifatkan seorang yang hipokrit dan bermain ‘wayang politik’ apabila Warisan menunjukkan pendirian tidak konsisten.
“Shafie sering ‘cakap tidak serupa bikin’ dalam perjuangan hak Sabah.
“Walaupun perjuangan memaknai hak Sabah di bawah MA63 adalah tanggungjawab semua anak Sabah, Warisan sering tampil menonjolkan seolah-olah merekalah ‘terpaling MA63’ dan menafikan ikhtiar pihak lain.
“Apabila Sabah Law Society (SLS) berjaya memperjuangkan hak 40 peratus di mahkamah, Warisan tampil seumpama hero, seumpama merekalah yang berjuang di mahkamah dan menang.
“Wayang politik,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau berkata, pendirian rasmi Warisan ketika berkuasa sebagai kerajaan negeri sangat berbeza dengan sekarang.
“Pernah ditanya adakah kerajaan Warisan mempertimbangkan untuk membawa kes hak Sabah ke mahkamah.
“Jawapan Presiden Warisan dalam Sidang DUN pada 7 Ogos 2019 adalah; ‘Kerajaan Negeri tidak mengambil pendekatan mengheret Kerajaan Persekutuan ke mahkamah yang beliau sifatkan sebagai tidak elok,’” katanya.
Armizan turut membidas tuduhan Warisan yang melabel GRS sebagai pengkhianat.
“Saya merujuk kepada kenyataan media Sabah Law Society (SLS) pasca keputusan mahkamah yang memihak kepada hak 40 peratus.
“SLS pada 17 Oktober 2025 secara jelas mengiktiraf peranan Kerajaan Negeri yang konsisten menegakkan hak berperlembagaan tuntutan 40 peratus hasil Sabah.
“Kerajaan Negeri mana yang dimaksudkan? Bukan pimpinan Warisan tapi Kerajaan Negeri yang diterajui GRS,” tegasnya.
Armizan turut mendedahkan sepanjang kes berlangsung, penghujahan Pejabat Peguam Besar Sabah, yang mewakili Kerajaan Negeri Sabah di bawah GRS telah membantu kes yang dibawa oleh SLS termasuk mengesahkan tiada rekod rasmi perundingan untuk menyemak kadar special grant dari tempoh 1974 hingga 2021.
“Inilah hakikat pendirian dan perjuangan Kerajaan Negeri pimpinan GRS dalam mendapatkan hak 40 peratus.
“Apa pula rekod Kerajaan Warisan apabila memegang kuasa dulu, katanya tidak wajar menentang Kerajaan Persekutuan di mahkamah,” katanya.
Tidak hanya itu, Armizan turut mengaitkan perkara yang sama dalam isu hak minyak dan gas.
“Mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, mendiang Tan Sri Dr James Jemut Masing pernah membuat kenyataan bahawa Warisan patut bersama dengan Kerajaan Sarawak mengambil tindakan perundangan terhadap PETRONAS bagi menuntut hak 5 peratus Cukai Jualan Negeri (CJN) ke atas produk petroleum.
“Shafie tidak mahu bersama Sarawak mencabar PETRONAS melalui saluran perundangan. Dan apabila Sarawak berjaya di mahkamah syukur Sabah juga berupaya mendapat hak yang sama,” katanya. – MalaysiaGazette
















