Mohd Muazzam Mohamed

KUALA LUMPUR – Keuntungan bersih yang direkodkan Bank Islam Berhad (Bank Islam) pada suku ketiga 2025 yang berakhir 30 September 2025 susut kepada RM129.23 juta berbanding RM129.63 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, pendapatannya meningkat kepada RM1.27 bilion berbanding RM1.17 bilion sebelum ini.

Bagi sembilan bulan pertama tahun kewangannya berakhir 31 Dis 2025, pendapatan Bank Islam meningkat kepada RM3.78 bilion daripada RM3.46 bilion sebelum ini.

Tetapi, ia mencatat keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM382.18 juta berbanding RM398.44 juta, meskipun mencapai peningkatan 9.2 peratus dalam pendapatan bersih, diimbangi oleh jumlah overhed yang lebih tinggi, peruntukan bersih lebih tinggi bagi kemerosotan nilai pembiayaan, dan kos kewangan yang meningkat.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, bank ini berkata, pendapatan sesaham sebanyak 16.86 sen dan pulangan ekuiti bersih tahunan sebanyak 6.7 peratus.

“Peningkatan pendapatan bersih kumpulan disokong oleh kenaikan 74.3 peratus dalam pendapatan berasaskan bukan dana yang meningkat kepada RM451.7 juta.

“Namun pendapatan bersih itu diimbangi oleh pendapatan berasaskan dana yang lebih rendah, yang menurun sebanyak RM19.8 juta atau 1.2 peratus, terutamanya disebabkan pendapatan lebih tinggi yang boleh diagih kepada pendeposit dan pemegang akaun pelaburan serta pendapatan pembiayaan yang lebih rendah,” katanya.

Peruntukan bersih bagi kemerosotan nilai pembiayaan dan pengeluaran adalah lebih tinggi sebanyak RM36.7 juta kepada RM152.2 juta bagi sembilan bulan pertama 2025.

Jumlah aset kumpulan telah melepasi paras RM100 bilion, meningkat kepada RM102.7 bilion pada akhir September 2025.

“Pembiayaan kasar meningkat 7.2 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM73.4 bilion, manakala deposit pelanggan dan akaun pelaburan berjumlah RM83.8 bilion dengan peningkatan y-o-y sebanyak RM5.4 bilion atau 6.9 peratus.

“Sehingga akhir September 2025, akaun semasa dan simpanan serta akaun pelaburan transaksi berjumlah RM30.0 bilion, menghasilkan paras yang sihat iaitu 35.8 peratus daripada jumlah deposit pelanggan dan akaun pelaburan,” katanya.

Setakat 30 September 2025, nisbah pembiayaan terjejas kasar ialah 1.04 peratus berbanding 1.06 peratus pada akhir Dis 2024. Nisbah modal keseluruhan kumpulan kekal sihat pada 20.3 peratus setakat 30 Sept 2025.

Bank Islam mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 10 sen sesaham, yang akan dibayar pada 9 Januari 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata, bank itu telah menunjukkan ketahanan isokong oleh transformasi operasi dan pematuhan teguh terhadap prinsip syariah walaupun berdepan penyederhanaan ekonomi global, ketegangan geopolitik dan keadaan kewangan yang ketat di pasaran utama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast