Fadilah bersama Ketua Pengarah Rosatom State Corporation, Alexey Likhachev ketika lawatan kerja ke Loji Kuasa Nuklear Leningrad, Rusia baru-baru ini.

MALAYSIA kini berada pada fasa penting dalam merangka masa depan tenaganya, dengan kerajaan giat menilai keperluan sumber tenaga baharu bagi menjamin keselamatan bekalan, mengurangkan pelepasan karbon dan menyokong pertumbuhan ekonomi hijau.

Dalam kerancakan perkembangan ini, Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), memainkan peranan utama dalam memacu agenda transformasi tenaga negara.Ini termasuk meneroka potensi penggunaan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada campuran tenaga jangka panjang.

Sejak memimpin PETRA, Fadillah menggerakkan pelbagai inisiatif strategik, merangkumi pembangunan tenaga boleh diperbaharui, pemodenan grid elektrik dan pelaksanaan teknologi hijau.

Namun, perhatian besar kini tertumpu pada langkah kerajaan memulakan kajian komprehensif mengenai tenaga nuklear, khususnya teknologi Small Modular Reactor (SMR) yang dilihat lebih selamat, modular dan bersesuaian untuk keperluan negara.

Menurut Fadillah, kajian ini melibatkan aspek teknikal, keselamatan, kos, pengurusan sisa radioaktif dan kesediaan regulasi. Hasilnya akan menjadi asas utama sebelum kerajaan membuat sebarang keputusan.

Justeru,menurut beliau, Malaysia tidak akan terburu-buru dalam isu sensitif ini dan keputusan hanya akan dipertimbangkan selepas 2030, bergantung kepada hasil kajian serta penerimaan masyarakat.

Fadzillah dalam beberapa kenyataannya sebelum ini menyuarakan bahawa  Malaysia mesti memastikan semua prasyarat dipenuhi sebelum mempertimbangkan pembinaan loji nuklear. Ini termasuk kerangka perundangan yang kukuh, keselamatan, modal insan dan kefahaman rakyat menyeluruh.

Kajian itu turut melibatkan MyPower Corporation yang berperanan menilai tahap kesiapsiagaan negara termasuk kemampuan tenaga pakar tempatan, infrastruktur sokongan dan standard keselamatan.

Langkah itu menunjukkan pendekatan cermat dan berperingkat, selaras dengan amalan negara-negara yang sedang mempertimbangkan teknologi nuklear generasi baharu di rantau ini.

Selain kajian teknikal, Fadillah turut mengetuai beberapa siri lawatan kerja dan pertemuan dengan negara yang berpengalaman dalam teknologi nuklear termasuk Rusia.

Perbincangan bertujuan memahami dan mendalami model pembangunan, keperluan keselamatan dan proses pelaksanaan terbaik sekiranya Malaysia memilih untuk memanfaatkan teknologi tersebut pada masa hadapan.

Namun agenda nuklear bukan satu-satunya fokus beliau.

Di bawah kepimpinan Fadillah, PETRA turut memperkukuh usaha memperluas kapasiti tenaga boleh diperbaharui negara. Salah satu inisiatif penting ialah pelancaran Hydrogen Economy and Technology Roadmap (HETR) yang memacu Malaysia di landasan menjadi peneraju industri hidrogen hijau di rantau ini.

Gagasan hala tuju tersebut merangkumi pembangunan teknologi, peluang pelaburan dan sasaran jangka panjang untuk menjadikan hidrogen sebagai sebahagian daripada ekosistem tenaga bersih negara.

Fadillah juga memberi perhatian kepada pembangunan solar, hidro, dan teknologi penyimpanan tenaga bagi meningkatkan kapasiti tenaga hijau negara.

Dalam masa sama, beliau menggerakkan usaha membangunkan grid pintar untuk meningkatkan kecekapan, mengurangkan kehilangan tenaga dan memastikan kestabilan sistem elektrik menghadapi permintaan tenaga yang semakin meningkat di negara ini.

Usaha berkenaan penting memandangkan sektor tenaga kini menyumbang hampir 80 peratus pelepasan gas rumah kaca negara.

Justeru, peralihan kepada tenaga bersih bukan lagi pilihan, tetapi keperluan untuk memenuhi komitmen antarabangsa dan melindungi kepentingan tenaga negara pada masa depan.

Selain itu, pentadbiran Fadillah turut memberi tumpuan kepada pembaharuan institusi dan pengukuhan dasar tenaga.

Ia termasuk menilai semula kebergantungan kepada arang batu, menambah kapasiti tenaga boleh diperbaharui dalam perancangan jangka panjang, serta melaksanakan amalan pemanfaatan  sektor tenaga agar lebih moden dan berdaya tahan.

Dalam konteks pembangunan tenaga nuklear, Fadillah kekal konsisten dengan pendekatan berwaspada. Pandangan beliau mengakui bahawa tenaga nuklear bukanlah pengganti kepada tenaga boleh diperbaharui tetapi pilihan tambahan untuk memenuhi permintaan tenaga asas (base-load) yang stabil.

Fadilah menghadiri ASEAN-Korea Sustainable Nuclear Energy Cooperation Forum 2025 yang berlangsung bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-43 dan Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) 2025 di Kuala Lumpur Convention Centre, baru-baru ini.

Ia penting bagi menyokong pertumbuhan pusat data, industri berintensif tenaga dan perkembangan bandar pintar pada masa depan. Kesediaan Malaysia pada masa hadapan yang bergantung kepada tenaga nuklear,akan tercapai sekiranya kesiapsiagaan negara mencukupi dari segi undang-undang, keselamatan dan teknologi.

Beliau berpendapat, langkah Malaysia meneroka tenaga nuklear adalah selari dengan trend global, khususnya dalam kalangan negara yang berusaha menyeimbangkan keperluan tenaga rendah karbon dengan kestabilan bekalan. Teknologi SMR pula dilihat lebih fleksibel, memerlukan kawasan tapak lebih kecil dan lebih mudah disepadukan dalam grid moden.

Sejujurnya, di bawah kepimpinan Datuk Seri Fadillah Yusof, Malaysia sedang menelusuri laluan strategik yang menggabungkan tenaga hijau, inovasi dan persediaan teknologi masa depan.

Usaha beliau bukan sahaja memperkukuh sektor tenaga negara, malah meletakkan Malaysia di landasan lebih kukuh untuk menghadapi cabaran tenaga global pada dekad-dekad mendatang.

Sama ada Malaysia akhirnya membina loji nuklear atau tidak, asas penyelidikan dan perancangan yang dirintis hari ini bakal menentukan kestabilan tenaga negara untuk generasi akan datang dan menjenama Malaysia sebagai negara pemacu tenaga nuklear dan tenaga diperbaharui di rantau ini.

Dr. Syed Agil Syed Alsagoff.

Oleh Dr. Syed Agil Alsagoff, Universiti Putra Malaysia

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast