Pengerusi Eksekutif YTL Corporation, Tan Sri Francis Yeoh menerima anugerah berprestij ‘ASEAN Personality of the Year 2025 – Lifetime Achievement Award’ pada majlis Asian Business Awards 2025 yang berlangsung di Central London.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Eksekutif YTL Corporation, Tan Sri Francis Yeoh menerima anugerah berprestij ASEAN Personality of the Year 2025 – Lifetime Achievement Award pada majlis Asian Business Awards 2025 yang berlangsung di Central London baru-baru ini.

Anugerah itu disampaikan oleh Asian Media Group UK (AMG) sempena edisi ke-26 penganjuran acara tersebut dan buat pertama kali kategori khas ASEAN diperkenalkan bagi mengiktiraf tokoh korporat dari rantau itu.

Majlis turut dihadiri Setiausaha Negara United Kingdom (UK) bagi Perumahan, Komuniti dan Kerajaan Tempatan, Steve Reed yang memuji sumbangan Francis dalam hubungan ekonomi serta projek pembangunan yang memberi kesan kepada Malaysia dan United Kingdom.

The Rt Hon Steve Reed, Setiausaha Negara UK bagi Perumahan, Komuniti dan Kerajaan Tempatan bersama Pengerusi Eksekutif YTL Corporation, Tan Sri Francis Yeoh.

Pengumuman anugerah dibuat oleh bekas Menteri Negara UK, Lord Tariq Ahmad of Wimbledon yang pernah memegang portfolio penting melibatkan Commonwealth, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Asia Selatan, Timur Tengah dan Afrika Utara.

Difahamkan pencalonan Francis dikemukakan oleh Hon Datuk (Sir) SK Lingam melalui ASEAN UK Business Forum dan Malaysia Link UK yang sebelum ini banyak terlibat dalam mengukuhkan hubungan perniagaan antara ASEAN dan UK.

Francis menghadiri majlis tersebut dan mendapat perhatian para hadirin termasuk diplomat serta pemimpin industri yang mengekori rapat perkembangan pelaburan YTL di peringkat antarabangsa.

Selain penganugerahan, Francis turut tampil dalam sesi wawancara pentas bersama penyampai BBC, Nihal Arthanayake di mana beliau berkongsi mengenai prinsip kepimpinan, tumpuannya terhadap pembangunan infrastruktur dan keutamaan syarikat untuk melaksanakan projek berdasarkan kepakaran teknikal.

Dalam sesi itu, Francis turut menyentuh amalan disiplin hariannya yang membantu proses membuat keputusan serta pendekatan jangka panjang YTL dalam sektor tenaga, digital dan infrastruktur data. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast