KUALA LUMPUR – MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM), pengeluar jenama “Gula Prai” mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM3 juta untuk suku ketiga (S3) tahun kewangan berakhir Disember 2025 (TK2025) berbanding kerugian sejumlah RM56 juta pada suku yang sama tahun lepas (S3TK2024).
Hasil bagi S3TK2025 menurun sebanyak 13 peratus kepada RM749 juta berbanding RM861 juta bagi suku yang sama tahun lepas, disumbangkan oleh jumlah jualan eksport terkawal.
Bagi sembilan bulan pertama 2025, MSM mencatatkan hasil sebanyak RM2.31 bilion, penurunan 11 peratus daripada RM2.60 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas, disebabkan oleh harga jualan purata (ASP) yang lebih rendah walaupun jumlah jualan sedikit lebih tinggi.
ASP, termasuk insentif, menurun 11 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dipacu oleh kontrak hadapan gula (NY11) yang lebih rendah, tukaran wang asing yang lebih rendah, dan premium eksport dan industri yang lebih rendah.
Dalam tempoh yang ditinjau, kumpulan telah mencatatkan Faktor Penggunaan (UF) yang lebih rendah sebanyak 45 peratus berbanding 49 peratus pada S3TK2024 disebabkan oleh strategi pengeluaran terkawal iaitu hasil mengikut permintaan, di samping mencatatkan hasil kecekapan yang stabil sebanyak 95 peratus.
“Industri gula dijangka kekal mencabar pada tahun 2025, didorong oleh kos input yang tinggi dan berterusan, bagaimanapun harga gula mentah yang rendah baru-baru ini akan memberikan prospek yang lebih baik untuk tahun kewangan 2026,” kata pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Hasni Ahmad.
“Permintaan gula domestik dijangka meningkat ke tahap tertinggi menjelang akhir tahun selaras dengan trend penggunaan perayaan. Kumpulan terus mengukuhkan jejak domestiknya sambil menyederhanakan jumlah eksport gula bertapis sebagai tindak balas kepada harga global yang rendah.
Di samping itu, usaha penyelarasan dan pengoptimuman operasi yang berterusan sedang dijalankan untuk menyokong pemulihan keuntungan Kumpulan,” tambah beliau.
Beliau berkata, MSM terus bekerjasama rapat dengan kerajaan melalui platform Industri Gula Bersama untuk memuktamadkan rangka kerja penetapan harga yang mampan bagi segmen gula 1kg yang dibungkus dan melaksanakan kawalan import ke atas gula bertapis.
Langkah-Langkah ini adalah penting untuk melindungi keterjaminan makanan negara dan memastikan kemampanan jangka panjang industri gula Malaysia. – MalaysiaGazette
















