KUALA LUMPUR – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memantau rapi Hot Spot Banjir di lokasi Kunci Air Taman Sri Muda, Seksyen 25 sejak pagi tadi susulan hujan berterusan.
Pemantauan dibuat oleh anggota Pasukan Pantas majlis berkenaan.
Bagaimanapun, MBSA menerusi Facebook memaklumkan, paras air sejak lima jam yang lalu dalam keadaan terkawal.
“Sebarang kecemasan atau bantuan segera akibat banjir di Shah Alam sila hubungi Pasukan Pantas di talian 03-55105811,” katanya menerusi kenyataan.
Selain itu katanya, pemantauan turut dilakukan di Stesen Kawalan Banjir, Bukit Rimau, Taman Bukit Kemuning, Seksyen 32, Shah Alam.
Pemerhatian MalaysiaGazette sejak pagi tadi mendapati, Sungai Damansara, Seksyen 13, Shah Alam semakin tinggi susulan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.
Ribut Tropika Senyar dikesan memasuki ruang udara Malaysia sejak petang semalam, sekali gus memberi impak kepada negara yang kini turut dilanda musim tengkujuh. – MalaysiaGazette
















