KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam insiden serangan terhadap wartawan sukan, Haresh Deol di Bangsar awal minggu ini.
Jurucakap kerajaan, Datuk Ahmad Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri berpandangan kejadian itu tidak sepatutnya berlaku terhadap pengamal media yang menjalankan tanggungjawab mereka kepada masyarakat.
“Perdana Menteri merakamkan kecaman beliau terhadap tindakan beberapa individu yang telah menyerang seorang wartawan senior bernama Haresh Deol.
“Kejadian tersebut yang berlaku beberapa hari yang lalu di Bangsar adalah satu kejadian yang tidak patut berlaku kepada mana-mana wartawan terutama bila mereka menjalankan tugas,” katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kerajaan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan penuh. Saya percaya pihak PDRM ada mengeluarkan kenyataan terbaru mengenai salah seorang yang telah ditahan,” ujarnya.
Awal hari ini, seorang lelaki berusia 37 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menyerang wartawan sukan, Haresh Deol di Bangsar.
R. Krishnan, seorang penghantar barang membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ili Marisqa Khalizan.
Menurut kertas pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi suspek yang masih bebas didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Haresh Singh Chain Singh di hadapan bangunan Tanjung Balai Group, Jalan Telawi 3, kira-kira 3.32 petang, 5 November lalu.
Bapa enam anak itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, serangan itu mungkin berpunca daripada perselisihan peribadi membabitkan isteri suspek dan penyerang dipercayai tersalah orang.
Fadil turut mengesahkan suspek mempunyai rekod jenayah membabitkan beberapa kesalahan lampau.
Pada Selasa lalu, Haresh yang juga Naib Presiden National Press Club dan pengasas organisasi berita Twentytwo13 dilaporkan diserang dua lelaki berpakaian hitam di Bangsar.
Serangan tersebut menerima kecaman meluas termasuk daripada Gerakan Media Merdeka (GERAMM), Majlis Media Malaysia (MMC) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). – MalaysiaGazette
















