Albert Tei dan Shamsul Iskandar Akin sudah ditahan SPRM.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan tiga-tiga individu iaitu Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing dan wanita bernama Sofia Rini Buyong untuk membantu siasatan berhubung kes tohmahan rasuah membabitkan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Sabah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Albert, individu paling penting dalam kes itu telah ditahan 10.15 pagi tadi di rumahnya.

Menurut Azam, SPRM juga telah menahan Shamsul Iskandar pada pukul 12.51 tengah hari tadi semasa beliau hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM kira-kira 12 tengah hari tadi.

SPRM dijangka membuat permohonan reman kepada Albert Tei dan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi esok, katanya.

Manakala, Sofia Rini telah ditahan semalam pukul 10.30 malam ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bagi membantu siasatan dan dia kini  direman selama empat hari sehingga Isnin, 1 Disember 2025.

“Albert yang sepatutnya hadir pada 1 Disember telah dimaklumkan untuk hadir lebih awal namun beliau enggan hadir lebih awal dan enggan memberi kerjasama dengan siasatan dijalankan SPRM.

“SPRM juga telah menyerahkan notis Seksyen 28 A (9) Kanun Prosedur Jenayah kepada Albert Tei yang mana ia memberi kuasa kepada pihak berkuasa yang menyiasat bagi menafikan hak tertuduh untuk berhubung dengan peguam dan mana-mana pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azam berkata, kes berkenaan merupakan kes berkepentingan awam dan atas faktor itu SPRM telah menjalankan siasatan dengan kadar segera agar tidak dimanipulasi pihak tertentu.

Bahkan, beliau memberi komitmen akan menyiasat kes itu secara profesional dan adil berlandaskan lunas undang-udang dan mana-mana pihak yang mempertikaikan tindakan penahanan ketiga-tiga individu berkenaan mempunyai hak untuk mempertikaikannya di mahkamah.

“Saya telah mengarahkan pegawai siasatan saya untuk melengkapkan siasatan dalam tempoh seminggu ini untuk dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk keputusan beliau secepat mungkin.

“Justeru itu saya menyeru semua pihak untuk bersabar dan jangan membuat spekulasi dalam kes ini,” ujar beliau.

Sementara itu, tinjauan mendapati Shamsul Iskandar hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya hari ini untuk memberi keterangan berhubung siasatan terhadap dakwaan rasuah.

Beliau yang sepatutnya hadir pukul 2 petang bagaimanapun tiba lebih awal iaitu pukul 12 tengahari.

Sekumpulan pengamal media yang hadir untuk membuat liputan bagaimanapun dimaklumkan pegawai SPRM yang Shamsul Iskandar sudah berada di bangunan SPRM dan sedang disoal siasat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast