KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin mempersoalkan sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengambil tindakan keras dalam penahanan Albert Tei pagi tadi.
Menurutnya, beliau tidak berhasrat untuk mempertikaikan kuasa SPRM untuk menyiasat sebarang dakwaan rasuah.
Namun, kata beliau, seperti dinyatakan peguam kepada ahli perniagaan berkenaan, Albert sudah pun ditetapkan untuk memberikan keterangan kepada SPRM, Isnin ini.
Malah, beliau turut mempersoalkan sama ada Albert merupakan penjenayah berat sehingga perlu dikenakan tindakan sedemikian rupa.
Sementara itu, tambahnya, tindakan ke atas Albert itu mengingatkan beliau terhadap kejadian yang pernah dan biasa berlaku ketika negara diperintah UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Tidak pernah terbayang insiden menyedihkan sebegini akan berulang ketika negara ditadbir oleh kerajaan yang dipimpin oleh Pakatan Harapan.
“Amat mengecewakan, ia berlaku lagi di bawah Kerajaan Madani,” katanya.
Terdahulu, peguam, Zaid Malek mendakwa SPRM melakukan ‘pencerobohan paksa’ ke rumah Albert sebelum menahan serta menggari anak guamnya itu hari ini.
Dakwa Zaid, beliau tiba di kediaman Albert di Puchong di sini, namun pegawai SPRM dan anggota polis yang berada di lokasi didakwa tidak membenarkannya masuk atau bertemu ahli perniagaan itu.
Beliau berkata, anak guamnya dibawa keluar dalam keadaan bergari sambil dikelilingi beberapa pegawai bersenjata ‘memakai balaclava’, iaitu tindakan yang disifatkannya sebagai keterlaluan.
Albert sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas membuat pendedahan berkenaan salah guna kuasa yang didakwa melibatkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin. – MalaysiaGazette

















sebagai bekas pemimpin parti Islam dan amanah, kamu sepatutnya lebih berhati2 dan tabayyun dalam menyampaikan sesuatu berita