KUALA LUMPUR – Paras air di Empangan Tasik Subang terpaksa dilepaskan secara terkawal selepas meningkat ke tahap 38.66 meter pagi semalam berikutan hujan luar biasa yang dikaitkan dengan kesan Ribut Tropika Senyar.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim berkata, pelepasan itu dilakukan bagi menurunkan paras air empangan dan memastikan keselamatan struktur selaras dengan Pelan Tindakan Kecemasan serta garis panduan Malaysia Dam Safety Management (MyDAMS).
Katanya, kadar hujan tinggi dan berterusan sejak 24 November lalu menyebabkan kapasiti empangan meningkat mendadak daripada 79.83 peratus (37.38m) kepada 95.12 peratus (38.09m) pada pukul 7 pagi, 25 November lepas.
“Paras air terus menunjukkan tren peningkatan sehingga mencapai paras limpahan 38.57 meter pada 27 November sebelum kembali meningkat ke 38.66 meter pada awal pagi 28 November (semalam) susulan taburan hujan sekitar 110mm,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bersama Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) melaksanakan pelepasan air secara terkawal bagi memberi ruang kepada empangan menampung hujan berterusan serta memastikan integriti struktur empangan terpelihara.
Katanya, situasi semasa dilaporkan terkawal dengan pemantauan rapi sedang dijalankan oleh LUAS dan Air Selangor.
Suhubungan itu orang ramai dinasihatkan merujuk sumber rasmi di portal www.iwrims.luas.gov.my bagi mendapatkan maklumat tepat dan mengelakkan kekeliruan mengenai perkembangan Empangan Tasik Subang serta empangan lain di Selangor.
Pada sidang media kelmarin, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip. Mohd Hisham dilaporkan berkata, Ribut Tropika Senyar mula memasuki ruang udara negara dan mencetus impak hujan lebat berterusan.
Katanya, ribut tropika itu mula memberi kesan di Indonesia sebelum memasuki Semenanjung dan bergerak menuju Laut China Selatan. – MalaysiaGazette
















