TANGKAP layar video serbuan pihak berkuas ke atas pusat kesihatan yang dipercayai turut dijadikan lokasi aktiviti lelaki songsang di ibu negara, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Pensyarah kejururawatan, Dr Mohammed Rasheedan Ellin menegur tindakan segelintir aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang seolah-olah menyalahkan pihak berkuasa dalam serbuan ke atas sebuah sauna yang dijadikan pusat aktiviti lelaki songsang.

Malah beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Perubatan dan Kesihatan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) turut melahirkan rasa hairan apabila ada yang mempertikaikan aduan awam yang dibuat terhadap operasi pusat tersebut.

Sedangkan, ujar beliau, semua pihak menyedari pusat sedemikian merupakan lokasi yang sangat tinggi bagi penularan HIV dan penyakit jangkitan kelamin (STD).

Ujarnya, risiko penyakit itu bukan berdasarkan `pendapat’ mana-mana pihak, sebaliknya merupakan fakta epidemiologi seluruh dunia.

“Kalau rakyat boleh lapor restoran kotor, boleh lapor scammer… kenapa pula tak boleh lapor aktiviti yang terang-terang bercanggah dengan undang-undang?

“Aduan itu bukan prejudis, itu tanda masyarakat masih peduli. Kalau semua buat tak kisah, negara ni lama dah hanyut,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Dr Mohammed Rasheedan Ellin

Menurut Mohammed Rasheedan, disebabkan itu juga, sekiranya matlamat untuk menamatkan penularan HIV benar-benar mahu dicapai, negara tidak boleh hanya bergantung kepada poster, kondom dan ceramah kesihatan.

Sebaliknya, ujar beliau, apa yang diperlukan adalah mesej yang konsisten dari sudut agama, undang-undang dan perubatan.

“Tiga-tiga ini kalau jalan serentak barulah ada impak. Kalau satu longgar, penyakit naik semula, sejarah dah tunjuk banyak kali,” katanya.

Tambah beliau, serbuan yang dilakukan oleh pihak berkuasa terhadap aktiviti sedemikian juga bukan tindakan anti hak asasi manusia sebaliknya bagi mencegah sesuatu yang lebih buruk.

Ia juga, katanya, bukan serbuan yang bermotifkan kebencian kepada mana-mana pihak tetapi kerana menyedari risiko seperti penyakit berbahaya yang tidak dapat dilihat oleh orang awam.

“Pendek kata, bukan semua perkara boleh disapu bawah karpet atas alasan privasi. Ada benda kalau kita biar, ia membesar jadi mudarat. Dan bila mudarat dah jadi kebiasaan, masa itu jangan tanya kenapa masyarakat makin rosak,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seramai 201 pengunjung ditahan dalam serbuan ke atas sebuah gimnasium dan sauna dua tingkat yang dijadikan sarang buat lelaki gay melampiaskan nafsu songsang di Chow Kit di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Azani Omar berkata, premis berkenaan disyaki beroperasi setiap hari sebagai sarang aktiviti tidak bermoral itu sejak lapan ke 10 bulan lalu.

Bagaimanapun, terdapat NGO yang membidas pihak berkuasa susulan operasi itu dengan menyifatkannya sebagai diskriminasi kerana menyasarkan sebuah `pusat kesihatan’ semata-mata berdasarkan golongan yang mengunjunginya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast