Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar memandang serius penahanan 203 lelaki berusia antara 19 hingga 60 tahun di sebuah premis di Jalan Raja Laut yang diserbu dalam operasi bersepadu Ops Songsang semalam.

Beliau menegaskan, komitmen penuh akan dibuat terhadap usaha membanteras aktiviti tidak bermoral serta salah laku seksual di negara ini.

Beliau menyatakan kebimbangan mengenai laporan sebahagian daripada individu yang dikenal pasti adalah penjawat awam itu sekali gus menuntut intervensi lebih agresif dalam aspek akhlak dan integriti perkhidmatan awam.

“Dua komitmen utama yang perlu dilakukan iatu mendukung penuh tindakan penguatkuasaan oleh PDRM, DBKL dan JAWI serta memastikan hasil siasatan dirujuk kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut termasuk pendakwaan.

“Mengarah JAKIM dan JAWI memperkukuh program pencegahan dan advokasi akhlak, termasuk pendidikan nilai kepada golongan belia, profesional dan komuniti bandar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Na’im menyeru masyarakat agar tidak menormalisasi perbuatan maksiat serta tidak memandang ringan isu keruntuhan moral yang boleh menjejaskan generasi dan maruah negara.

“Kita mendambakan sebuah Malaysia maju yang tinggi akhlaknya, kuat jatidirinya dan diredhai tuhan,” katanya sambil mendoakan agar masyarakat sentiasa dipelihara daripada kerosakan akhlak.

Dalam operasi bersepadu melibatkan PDRM, DBKL, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JAWI semalam seramai 17 penjawat awam merrupaka antara 208 individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah kelab kesihatan yang dipercayai dijadikan lokasi aktiviti seksual songsang di kawasan Chow Kit.

Pemeriksaan dijalankan berdasarkan peruntukan undang-undang termasuk Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559], antaranya Seksyen 25 (Liwat) dan Seksyen 47 (Percubaan melakukan liwat).

Selain itu, tindakan turut diambil di bawah Kanun Keseksaan [Akta 574] melalui Seksyen 377A dan 377B berkaitan kesalahan seksual terhadap tabii manusia.

Premis yang diserbu didapati beroperasi dengan lesen sah sebagai gimnasium, sauna dan pusat kecergasan namun dipercayai menjalankan aktiviti promosi bercanggah dengan undang-undang serta akhlak.

DBKL kini sedang melalui proses pembatalan lesen premis tersebut mengikut bidang kuasa perlesenan pihak berkuasa tempatan.

Lebih 200 individu telah diperiksa manakala notis arahan hadir memberi keterangan (SPH) dikeluarkan kepada pengunjung beragama Islam bagi siasatan lanjut mengikut undang-undang berkaitan.

Mohd Na’im turut menyatakan kebimbangan mengenai laporan bahawa sebahagian daripada individu yang dikenal pasti adalah penjawat awam, sekali gus menuntut intervensi lebih agresif dalam aspek akhlak dan integriti perkhidmatan awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast