KUALA LUMPUR – Selain daripada Seksyen 25 Akta Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1967, aktiviti tidak bermoral dan perlakuan songsang juga boleh disiasat di bawah Seksyen 47 iaitu percubaan melakukan liwat.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata tindakan selanjutnya memerlukan siasatan yang terperinci terlebih dahulu.
“Daripada sudut Akta Jenayah Syariah, memang sukarlah dalam konteks nak sabitkan isu liwat tersebut dan sebab itu kita akan tengok daripada sudut percubaan untuk melakukan kesalahan… Yang itu siasatan akan dijalankan,” katanya ketika ditemui di Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru.
Majlis disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Terdahulu Na’im menyifatkan penahanan 201 lelaki di sebuah premis di Chow Kit pada Jumaat lalu sebagai membimbangkan.
Tegasnya, perbuatan tersebut bukan hanya tidak diterima dari sudut undang-undang malah juga agama Islam khususnya.
“Matlamat kita sama. Yang ini adalah merupakan satu kesalahan moral yang sangat besar. Bukan saja daripada sudut undang-undang tapi daripada sudut agama ni memang tak
boleh nak diterima.
“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah sebut beberapa kali, negara berdaulat ini dan ada undang-undang ini tidak boleh menerima perbuatan songsang ini,” tambah beliau.
Sehubungan itu, Na’im berkata, usaha pencegahan giat dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan Kerjasama pihak berkuasa.
“JAKIM dan JAWI akan memperhebatkan usaha-usaha untuk mengajak masyarakat Islam dan memberitahu tentang gejala seksual songsang yang tak boleh diterima dalam agama dan undang-undang kita.
“Kita menyerulah masyarakat keseluruhannya untuk kita mohon masyarakat bekerjasama dengan pihak berkuasa, polis dan badan agama untuk kita merhapuskan perbuatan songsang ini,” katanya lagi.
Sementara itu, Zaliha berkata, usaha membanteras aktiviti tidak bermoral dan songsang perlu dilakukan secara berkala dan sistematik.
“Sudah tentunya ini adalah betul suatu yang mengejutkan dan saya kira ini adalah satu aktiviti yang tidak bermoral yang harus kita lakukan pemantauan dan juga pembanterasan secara berkala dan lebih sistematik.
“Insya-Allah saya harap juga aktiviti-aktiviti ini kita dapat bendung dengan usaha penguatkuasaan tetapi juga saya kira dia adalah perlu kepada satu penyelesaian yang lebih inklusif dan efektif dan tuntas,”katanya.
Terkejut dengan penahanan Op Songsang itu, beliau berkata pelbagai agensi telah bekerjasama dalam usaha itu terutama melibatkan kawasan di sekitar ibu negara. – MalaysiaGazette
















