KUANTAN – Anggota Angkatan Pertahanan Awam Pahang (APM) Bera membantu menghantar guru-guru dan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas akibat banjir kira-kira jam 7 pagi tadi.
Pegawai APM Bera, Kapten (PA) Nurul Ashikin Mohd Anuar memberitahu, seramai 10 orang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Triang dibantu menaiki lori APM meredah banjir untuk ke sekolah.
Beliau berkata, APM juga membantu menghantar dua calon SPM dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kerayong ke pusat peperiksaan kerana mereka terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kampung Sri Buntar.
“APM Bera turut membantu menghantar seorang calon SPM dari Kampung Kuala Triang ke pusat peperiksaan di SMK Mengkarak susulan jalan di kawasan rumahnya iaitu Jalan Kampung Kuala Triang ke Kampung Kuala Bera tenggelam sehingga kedalaman kira-kira 1.5 meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Enam daerah iaitu Lipis, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran dan Kuantan masih terjejas akibat banjir susulan hujan berterusan sejak Khamis lepas.
Sehingga jam 12 tengah hari tadi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang memaklumkan sebanyak 15 PPS masih aktif di enam daerah terbabit dengan 418 mangsa daripada 125 keluarga masih berada di PPS.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri Pahang memaklumkan aras air di Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran kini melepasi paras bahaya.
Begitu juga aras air di Sungai Triang di Jambatan Keretapi (F1) dan Sungai Pahang di Waterfront, Bera yang turut melepasi paras bahaya. – MalaysiaGazette
















