Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan bergambar bersama pemain Belgium juara Piala Sultan Azlan Shah ke-31 di Stadium Hoki Azlan Shah hari ini. Foto ABDULLAH YUSOF, 30 NOVEMBER 2025.

IPOH – Belgium berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-31 apabila muncul juara selepas menewaskan India 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, malam tadi.

Ini merupakan kejuaraan sulung Belgium dalam kejohanan tersebut pada penampilan keduanya selepas kali pertama pasukan itu beraksi pada tahun 2008, dan menamatkan saingan di tempat keenam.

Thibeau Stockbroekx menjadi wira Red Lions apabila menjaringkan gol tunggal kemenangan pada minit ke-34.

Pujian juga harus diberikan kepada kesemua pemain India terutamanya penjaga gol, Shashikumar Mohith Honnenahalli dan Pawan Malik kerana berjaya menepis kesemua serangan berbahaya Belgium termasuk enam pukulan sudut penalti.

Bagaimanapun, pertahanan Belgium yang sukar dibolosi menyebabkan India gagal untuk menjaringkan sebarang gol pada perlawanan tersebut.

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menyaksikan perlawanan tersebut bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim kemudian menyampaikan trofi kemenangan kepada pasukan Belgium yang diketuai Arthur Van Doren.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan hadiah pada naib juara, pasukan India.

Pada perlawanan terdahulu, New Zealand menduduki tempat ketiga setelah menewaskan Malaysia 6-1 manakala Kanada menamatkan kempen di tempat kelima dengan mengalahkan Korea Selatan 4-3.

Beberapa anugerah lain turut disampaikan termasuk Pemain Terbaik Kejohanan, Tom Boon (Belgium); Penjaga Gol Terbaik, Vincent Vanasch (Belgium); Pemain Terbaik Perlawanan Akhir, Thibeau Stockbroekx (Belgium) dan Piala Fair Play (Piala Raja Ashman Shah), Korea Selatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast