GEORGE TOWN – Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai menyifatkan cadangan menjadikan negeri itu sebagai Wilayah Khas Kedah merupakan tindakan mencabar struktur asas pembentukan Persekutuan Malaysia serta Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menegaskan rasa terkilan dan terkejut terhadap cadangan yang dikemukakan Pengarah Pusat Kajian Ketamadunan Melayu Islam ISTAC IIUM, Prof Datuk Ahmad Murad Merican dalam satu forum di Universiti Kebangsaan Malaysia minggu lalu.
“Hubungan antara Pulau Pinang dan Kedah telah pun termaktub melalui Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan 1957 yang mengiktiraf kedua-duanya sebagai negeri berdaulat bersama negeri-negeri lain dalam Persekutuan Malaysia.
“Peruntukan itu membentuk struktur asas negara serta menjadi batu asas kenegaraan Malaysia,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Hon Wai, cadangan Ahmad Murad dilihat menari seiring dan senada dengan pendirian Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
“Kedua-dua kenyataan (Ahmad Murad dan Muhammad Sanusi) itu jelas gagal menghayati asas pembentukan Persekutuan Malaysia yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan.
Media pada Jumaat lalu melaporkan Pengarah Pusat Kajian Ketamadunan Melayu Islam ISTAC IIUM, Prof Datuk Ahmad Murad Merican mencadangkan agar Pulau Pinang dijadikan sebagai Wilayah Khas Kedah dengan mengekalkan struktur institusi, ekonomi dan politik, namun diletakkan di bawah pentadbiran negeri itu.
Kata beliau, cadangan itu menyerupai model Hong Kong sebagai wilayah pentadbiran khas di bawah China, yang mengekalkan autonomi tertentu tetapi tetap berada dalam kerangka pemerintahan Pusat.
Maksudnya institusi sedia ada seperti peraturan ekonomi dan politik masih kekal, cuma ada sedikit perubahan dari segi pentadbiran iaitu Yang Dipertua Negeri dilantik daripada Istana Kedah,” katanya semasa forum ‘Merungkai Polemik Persejarahan Malaysia: Antara Fakta dan Tafsiran” di Universiti Kebangsaan Malaysia di sini.
Cadangan tersebut dikemukakan sebagai respons polemik mengenai kedudukan status Pulau Pinang yang pernah menjadi sebahagian wilayah Kedah sebelum 1786. – MalaysiaGazette
















