KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan beliau hanya akan melakukan rombakan kecil dalam Kabinet tidak lama lagi.
Perdana Menteri berkata, rombakan besar tidak diperlukan kerana beliau hanya akan mengisi kekosongan bagi beberapa jawatan Menteri.
Tambah beliau, selain itu tempoh pentadbiran Kabinet sedia ada juga semakin pendek yang mana akan berfungsi kira-kira satu setengah tahun sahaja sebelum penggal berakhir.
“Kita perlu mengisi kekosongan menteri tetapi rombakan Kabinet jika ada masa yang panjang.
“Kabinet ini hanya akan berfungsi dalam tempoh setahun setengah lagi. Jadi saya tidak fikir rombakan Kabinet besar harus dilakukan.
“Saya sedang merenung apa yang perlu dilakukan namun mengisi kekosongan menteri itu ada keperluan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Kenderaan Elektrik (EV) pertama Perodua di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan rombakan Kabinet dijangka diumumkan oleh Perdana Menteri pada awal Disember ini.
Ia susulan kekosongan di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di mana tempoh senator selama dua penggal Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berakhir esok.
Antara spekulasi yang timbul dua pelantikan utama bakal mencuri perhatian apabila Khairy Jamaluddin Abu Bakar atau KJ akan kembali ke Kabinet sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air serta Datuk Seri Johari Abdul Ghani dijangka menerajui MITI.
Tengku Zafrul pula akan diberi peranan baharu sebagai Penasihat Ekonomi Kanan Kerajaan.
Turut dikaitkan ialah Datuk Seri R. Ramanan yang juga Naib Presiden PKR sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menggantikan Datuk Ewon Benedick yang meletakkan jawatan baru-baru ini.
Selain itu, turut dirombak penggabungan Kementerian Ekonomi ke bawah Kementerian Kewangan menjadikannya berfungsi semula seperti Unit Perancang Ekonomi di bawah struktur terdahulu. – MalaysiaGazette
















