Mohamad Saifuddin Abdul Latiff.

KUALA LUMPUR – Gejala hubungan sejenis tidak lagi boleh dianggap sebagai isu peribadi semata-mata, sebaliknya ia merupakan ancaman kepada sosial dan kesihatan awam.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Saifuddin Abdul Latiff berkata, isu tersebut memerlukan intervensi menyeluruh daripada keluarga, komuniti, pihak berkuasa, institusi agama dan sistem pendidikan negara.

Tegas beliau, masyarakat tidak boleh sesekali menormalisasikan maksiat termasuk hubungan songsang dalam apa jua bentuk.

Ujarnya, setiap individu memikul tanggungjawab untuk memelihara diri, keluarga dan komuniti dengan menegur secara berhikmah, membimbing mereka yang tersasar kembali kepada nilai fitrah serta memperkukuh pendidikan akhlak dan kawalan sosial dalam kehidupan seharian.

“Institusi keluarga, sekolah, masjid, masyarakat sivil dan kerajaan perlu bergabung tenaga melaksanakan intervensi pencegahan yang menyeluruh dan strategik bagi menangani gejala ini secara tuntas, termasuk dari segi penguatkuasaan undang-undang, pendidikan moral serta advokasi kesihatan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Saifuddin, ABIM juga berpendirian isu hubungan sejenis bukan soal stigma atau diskriminasi, tetapi berkenaan kesucian nilai masyarakat, keselamatan moral dan kesejahteraan rakyat.

Sehubungan itu, katanya, tindakan tegas terhadap perlakuan songsang yang dilakukan secara terbuka adalah suatu keperluan demi memelihara maruah masyarakat, ketenteraman awam dan masa depan negara.

Dalam masa sama, ujarnya, ABIM melahirkan rasa kesal dengan sikap segelintir pihak yang memperlekehkan isu hubungan sejenis itu seolah-olah keruntuhan moral masyarakat suatu perkara yang boleh ditertawakan.

“Hilangnya rasa jijik terhadap kemungkaran adalah petanda hati yang semakin gelap dan jauh daripada nilai fitrah, sebagaimana diingatkan oleh para ulama bahawa antara tanda kehancuran umat ialah apabila dosa dianggap biasa dan maksiat dijadikan hiburan.

“Sikap sebegini amat berbahaya kerana ia membuka ruang normalisasi, meruntuhkan sensitiviti moral dan akhirnya menjerumuskan masyarakat ke dalam gelombang kerosakan sosial yang lebih besar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast