KUALA LUMPUR – Premis yang menyediakan suasana, kemudahan, atau fasiliti yang mendorong perlakuan salah — walaupun tiada jenayah dibuktikan — tetap berada dalam kategori risiko syubhah tinggi dan perlu ditangani secara berhemah serta tegas.
Pendekatan ini seiring dengan tujuan-tujuan syariah (Maqāṣid al-Sharīʿah) dalam menjaga agama, akhlak masyarakat, maruah dan keselamatan, kata Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.
Menurutnya, IKIM memandang serius kebimbangan masyarakat berhubung kewujudan premis tertutup yang dikaitkan dengan aktiviti tidak bermoral.
Meskipun siasatan pihak berkuasa tidak membawa kepada sebarang dakwaan undang-undang atas faktor ketiadaan bukti teknikal yang mencukupi, isu ini tetap berpotensi menjadi jalan kepada kerosakan sosial dan memerlukan tindakan pencegahan yang sewajarnya.
Jelas beliau, IKIM ingin menegaskan usaha pencegahan tidak seharusnya terbatas kepada tindakan penguatkuasaan semata-mata.
Sebaliknya, dalam banyak keadaan, pendekatan restoratif yang melibatkan pendidikan, kaunseling, intervensi komuniti, dan pembinaan sokongan sosial adalah lebih berkesan untuk membendung gejala daripada akar umbi.
“Pencegahan awal adalah lebih selari dengan roh syariah berbanding penindasan atau stigma yang tidak membantu proses pemulihan moral.
“Sehubungan itu, IKIM menyokong usaha kerajaan, pihak berkuasa tempatan, dan agensi agama untuk memperkemas garis panduan kawal selia premis tertutup, termasuk aspek perlesenan, pengawasan, dan tindakan inter-agency. IKIM juga menyeru agar masyarakat mengelakkan spekulasi dan berhati-hati dalam menilai maklumat tidak lengkap di media sosial,” katanya,
Mohamed Azam menambah, IKIM akan terus menjalankan penyelidikan, memberi panduan dasar dan menyediakan pencerahan kepada masyarakat agar isu-isu sensitif seperti ini dapat ditangani dengan pendekatan yang ilmiah, beradab dan menepati kehendak syariah. – MalaysiaGazette
















